suria

Kedai minuman keras kena ceroboh... ‘Suspek’ rupanya seekor rakun! Siap pengsan gara-gara terlalu mabuk

'Suspek' pencerobohan yang merupakan seekor rakun (kiri) ditemui pengsan di dalam tandas premis tersebut. - Foto FB Pusat Perlindungan Haiwan Daerah Hanover

SEBUAH kedai minuman keras di Virginia, Amerika Syarikat, berdepan insiden tidak diduga apabila seekor rakun menceroboh dan meminum alkohol hingga pengsan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 3 Disember lalu, Pusat Perlindungan Haiwan Daerah Hanover memaklumkan bahawa rakun tersebut dikatakan menyelinap masuk melalui siling kedai sebelum memecahkan 14 botol pelbagai jenis alkohol dan meminumnya.

Pegawai pusat perlindungan, Martin, bergegas ke lokasi selepas menerima laporan daripada kakitangan kedai yang menyedari tanda-tanda pencerobohan.

Setibanya di sana, Martin mendapati beberapa rak digeledah dan botol minuman keras bersepai pecah di lantai.

Tidak lama kemudian, dia menemui 'suspek' yang terbaring tidak sedarkan diri di dalam tandas, dipercayai mabuk akibat meminum alkohol yang tumpah.

Martin berjaya membawa haiwan tersebut keluar dengan selamat sebelum membawanya ke pusat perlindungan untuk pulih terlebih dahulu. 

Selepas kembali stabil, rakun itu dilepaskan semula ke kawasan hutan berhampiran. -Agensi

Artikel Lain

Daddy Rock meninggal dunia