suria

Lelaki bakar 2 kereta, amuk selepas teman wanita digoda

Iqbal berdepan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan dilakukan. Foto Ikbal Selamet

SEORANG lelaki berusia 21 tahun ditahan pihak polis selepas bertindak membakar dua buah kereta pada Selasa.

Kejadian di Jalan Siliwangi, Daerah Cianjur, Indonesia itu menyebabkan kemusnahan kenderaan tersebut.

Tindakan nekad berpunca daripada cemburu buta itu ternyata tersalah sasaran apabila kereta terbakar sebenarnya milik orang awam yang hanya meletakkan kenderaan di kawasan deretan kedai.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Resor Cianjur, AKP Tono Listianto, menjelaskan hasil siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana cemburu selepas teman wanitanya dipercayai digoda oleh lelaki lain.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati suspek tersalah sasaran kerana kenderaan yang dibakar itu bukan milik lelaki yang didakwa menggoda teman wanitanya.

Suspek, Iqbal Gandi Siregar kini berdepan dengan pertuduhan di bawah Pasal 187 Kanun Keseksaan (KUHP) yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Sementara itu, suspek mengaku dia bertindak di luar kawalan akibat perasaan marah yang meluap-luap sehingga tidak memastikan terlebih dahulu pemilik sebenar kenderaan tersebut.

Terdahulu, dua buah kereta dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Jalan Siliwangi, Kecamatan Cianjur, pada awal pagi Selasa. 

Rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang individu berbaju jaket hitam melarikan diri sejurus kebakaran berlaku, sekali gus menguatkan bukti bahawa insiden itu dilakukan secara sengaja. -Agensi

Artikel Lain