SEBUAH helikopter terhempas ke dalam sungai hingga meragut enam nyawa termasuk tiga kanak-kanak dalam kejadian pada petang Khamis.
Menurut Datuk Bandar New York, Eric Adams, nahas itu berlaku di Sungai Hudson berhampiran Jersey City sekitar pukul 3:17 petang waktu tempatan.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada juruterbang dan sebuah keluarga yang melancong dari Sepanyol terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka.
Lima daripada enam mangsa tersebut dikenalpasti sebagai Agustin Escobar, isterinya dan ketiga-tiga anak mereka, berusia empat, lima dan 11 tahun.
Helikopter jenis Bell 206 itu dikendalikan syarikat pelancongan New York Helicopters dan dilaporkan berlepas dari Lower Manhattan sekitar pukul 3 petang.
Sebelum terhempas, helikopter tersebut dilihat terbang mengelilingi Pulau Governor dan Patung Liberty sebelum bergerak menyusuri Sungai Hudson di sebelah Barat Manhattan.
Helikopter yang dimiliki oleh Meridian Helicopters itu kemudiannya berpatah balik selepas melepasi Jambatan George Washington.
Beberapa saksi mendakwa melihat bahagian helikopter tercabut ketika masih di udara sebelum ia terjunam dalam keadaan terbalik ke dalam sungai.
Rakaman video turut menunjukkan serpihan berterbangan dan alat pengapung muncul di permukaan air, namun badan utama helikopter serta ekornya tidak kelihatan.
Operasi menyelamat segera digerakkan pasukan kecemasan di kedua-dua sisi sungai, termasuk anggota Jabatan Polis New York (NYPD) yang dikerahkan ke Lebuhraya West Side dan Spring Street di Manhattan.
Punca sebenar nahas masih dalam siasatan penuh pihak berkuasa persekutuan dan tempatan. -Agensi