suria

“Selamat tinggal India” - Dua sahabat baik kongsi rakaman terakhir sebelum ‘boarding’, tak sabar nak pulang ke UK

Jamie dan Fiongal adalah antara mangsa dalam pesawat Air India yang terhempas pada Khamis.

DUA sahabat lelaki dari London berkongsi detik-detik akhir mereka di India hanya beberapa jam sebelum menaiki pesawat Air India yang terhempas pada Khamis petang.

Mangsa, Jamie Meek yang merupakan pengarah pusat kesejahteraan, The Wellness Foundry di London baru sahaja menamatkan percutian bersama sahabatnya, Fiongal Greenlaw-Meek di India.

Menerusi beberapa hantaran di Instagram pada Rabu malam, dia merakam suasana tenang dan indah sebagai kenangan malam terakhir di India.

Jamie menggambarkan pengalaman bersama rakannya itu sebagai 'magical' (menakjubkan) sambil berkongsi gambar penginapan mereka di hotel warisan, The House of MG di Ahmedabad.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya lompat keluar dari pintu kecemasan, penumpang ‘ajaib’ imbas detik ngeri sebelum pesawat Air India terhempas

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dalam kapal terbang sama” - Penumpang rakam keadaan ‘tak sempurna’ dalam pesawat Air India

Kemudian pada pagi Khamis, Jamie sempat merakam video kenangan bersama Fiongal ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas menaiki penerbangan Air India AI171 dari Ahmedabad ke London Gatwick.

"Kami di lapangan terbang, baru nak naik pesawat. Selamat tinggal India," kata Fiongal.

"Selamat tinggal. Perjalanan 10 jam balik ke England," sambut Jamie.

Namun tiada siapa menyangka momen ceria itu adalah kenangan terakhir untuk ahli keluarga, kenalan dan pengikut mereka di media sosial apabila pesawat yang mereka naiki terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel.

Pesawat Boeing 787 itu membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal. 

Hanya seorang penumpang lelaki dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, 40, terselamat yang kini dirawat di Hospital Awam Asarwa, Ahmedabad.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas yang disifatkan antara paling tragik dalam sejarah penerbangan India. -Livemint

Artikel Lain