suria

Lepas tegur kawan menangis, budak 10 tahun dipukul sampai patah kaki... Dua rakan sebaya berlagak gangster sekolah!

Perbuatan kasar sehingga mencederakan tidak wajar dinormalisasikan sebagai gurauan kanak-kanak. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki selepas didakwa menjadi mangsa kekerasan fizikal oleh dua rakan sebayanya.

Dia kini dirawat di hospital dan berada dalam pemantauan rapi susulan mengalami kecederaan serius.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Samarinda, Indonesia.

Menurut Ketua Pasukan Reaksi Cepat Perlindungan Perempuan dan Anak (TRC PPA) Kalimantan Timur, Rina Zainun, kejadian berlaku selepas mangsa menegur seorang rakan yang sedang menangis.

Ujarnya, teguran itu mencetuskan kemarahan dua rakan lain.

"Mangsa pada awalnya berjaya menepis tindakan salah seorang yang mencekiknya.

"Tindakan itu membuatkan dia dilempar seorang lagi pelaku sebelum terjatuh dengan keadaan kakinya tersangkut di dinding.

"Pelaku itu kemudiannya didakwa menindih kaki mangsa sehingga patah," kata Rina selepas melawat mangsa pada Khamis.

Hasil laporan perubatan mendapati, kaki mangsa patah akibat kekerasan yang berlaku.

Susulan itu, Rina menegaskan insiden berkenaan tidak boleh dianggap sebagai gurauan kanak-kanak kerana jelas melibatkan unsur keganasan.

Tambah beliau, pihak TRC PPA berhubung dengan Pasukan Pendidikan Samarinda dan meminta tindakan tegas diambil berikutan kes buli di sekolah semakin kerap dilaporkan.

"Kami mahu sekolah melindungi mangsa dan memberi tindakan tegas kepada pelaku.

"Buli tidak boleh dinormalisasi dalam apa jua situasi, lebih-lebih lagi apabila menyebabkan kecederaan serius," katanya. -Agensi

Artikel Lain