suria

[V] Jalan rosak tak dibaiki, penduduk terpaksa usung jenazah sejauh 10 km ke tanah perkuburan

Jalan berlumpur menyukarkan lagi penduduk mengusung jenazah keluar dari kampung.

TINDAKAN puluhan penduduk dari sebuah kampung mengusung jenazah sejauh 10 kilometer (km) menjadi tular di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi 28 saat itu [Tonton Video], penduduk menggunakan buluh dan kain pelikat yang disusun menjadi tandu untuk membawa jenazah melalui jalan tanah yang licin dan berlumpur.

Dalam video yang tersebar, keadaan jalan dilihat mengalami rosak teruk dan sangat berlumpur.

Penduduk juga kelihatan mengambil giliran dengan berhati-hati semasa membawa jenazah dengan keadaan menjadi lebih sukar kerana hujan renyai yang menyebabkan beberapa penduduk tergelincir.

Kejadian dilapor berlaku di Kampung Sungai Tabun, Daerah Kerinci, Jambi di Indonesia.

Ketua Daerah Kerinci, Monadi, mengesahkan kejadian itu sambil memaklumkan jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan kampung bersebelahan rosak akibat cuaca buruk.

“Ya, saya menerima laporan. Akses jalan dari rumah jenazah ke jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan, jadi jenazah terpaksa dibawa menggunakan tandu,” kata Monadi pada Khamis.

Monadi menjelaskan jenazah dibawa menggunakan tandu sehingga tiba di jalan utama yang boleh diakses oleh ambulans.

Katanya tanah perkuburan terletak di kawasan ladang bersebelahan, manakala akses ke kampung itu sudah rosak sejak beberapa tahun lalu. -Agensi

Artikel Lain