suria

Aktif sejak 2018, YouTuber cipta kandungan penderaan seksual kanak-kanak ditahan

Cipta dan sebar kandungan penderaan seksual kanak-kanak adalah satu jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG YouTuber ditahan polis selepas didakwa mencipta, memuat naik dan mengedarkan kandungan penderaan seksual kanak-kanak menerusi platform YouTube.

Suspek dikenali sebagai Kambeti Satya Murthy, 39, yang merupakan penduduk Visakhapatnam, Andhra Pradesh di India, ditahan Unit Jenayah Siber Polis Hyderabad susulan siasatan kes penderaan kanak-kanak.

Menurut polis, suspek mengendalikan sebuah saluran YouTube dikenali sebagai Viral Hub dan menghasilkan video temu bual melibatkan kanak-kanak bawah umur antara 15 hingga 17 tahun.

"Siasatan mendapati suspek mengemukakan soalan berunsur lucah dan seksual secara terbuka kepada kanak-kanak terbabit.

"Dalam salah satu video, dia turut memaksa dua kanak-kanak bawah umur berciuman, yang jelas merupakan satu bentuk eksploitasi seksual," kata polis dalam satu kenyataan.

Kes berkenaan mula disiasat pada Oktober tahun lalu selepas polis membuka kertas siasatan secara suo motu (atas inisiatif sendiri) sebaik mengesan kandungan mencurigakan di saluran tersebut.

Analisis teknikal yang dijalankan mengesahkan kandungan itu melanggar undang-undang siber serta peruntukan perlindungan kanak-kanak.

Susulan itu, suspek dikenal pasti, dijejaki dan ditahan berdasarkan bukti digital.

Polis turut mendedahkan suspek aktif di media sosial sejak 2018 dan pada awalnya menghasilkan kandungan temu bual melibatkan individu berpengaruh dengan bahasa kesat bagi meraih tontonan dan pendapatan.

"Namun, suspek kemudian mula menyasarkan golongan bawah umur untuk meningkatkan pendapatan melalui monetization sekali gus melakukan kesalahan yang jauh lebih serius," jelas pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek telah memuat naik hampir 400 video dan salurannya mempunyai lebih 250,000 pelanggan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Jenayah Siber memaklumkan pihaknya akan menghantar permohonan rasmi kepada Google bagi menutup saluran YouTube terbabit. -Agensi

Artikel Lain

Mia Sara okay saja!