suria

Buat kerja sekolah salah... Murid tahun 2 dirotan hingga lebih 10 kesan lebam, guru ‘hilangkan’ diri hanya mohon maaf

Perjumpaan ibu bapa murid dirotan guru bersama pihak pengurusan sekolah. -Gambar CH7 News

SEORANG guru wanita disiasat selepas didakwa memukul lengan seorang murid tahun dua menggunakan rotan hingga meninggalkan lebih 10 kesan lebam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Rabu lalu selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis anak perempuan mereka berusia lapan tahun menjadi mangsa hukuman di kelas kerana tugasan rumah yang salah. 

Menurut ibu, guru tersebut memaksa murid itu mengaku melakukan tugasan sendiri walaupun sebenarnya rakan lain yang melakukannya.

Keluarga berkata hukuman menggunakan rotan sepanjang 40 sentimeter (cm) itu terlalu keras dan menjejaskan murid dari segi fizikal dan emosi.

Kejadian berlaku di Daerah Tha Muang, Kanchanaburi, Thailand.

Sementara itu, satu pertemuan diadakan bersama ibu bapa, pengarah Kanchanaburi Primary Educational Service Area Office 1, pegawai sosial, pengarah sekolah, dan jawatankuasa sekolah pada Khamis lalu.

Namun, guru berkenaan tidak hadir kerana tidak sihat tetapi memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Guru berkenaan kini dipindahkan sementara ke pejabat pendidikan daerah, manakala murid bersetuju untuk terus hadir ke sekolah menjelang peperiksaan akhir semester.-Agensi

Artikel Lain