SEORANG penjaga warga emas maut ditikam dengan kejam ketika sedang menjalankan tugas di sebuah kediaman di Kawaguchi, wilayah Saitama, Jepun pada Isnin.Lebih menyayat hati, suspek yang dipercayai merupakan anak kandung kepada warga emas yang dijaganya itu turut ditemukan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia.Menurut kenyataan pihak polis, lelaki berusia lingkungan 60-an itu sempat menghubungi talian kecemasan 110 kira-kira pukul 3 petang dan memaklumkan bahawa dia menikam seorang penjaga wanita, sebelum secara terbuka menyatakan hasrat untuk menamatkan riwayatnya sendiri.Mangsa yang maut dikenali sebagai Kiyoko Suzuki, 63, di mana pada hari kejadian dia dijadualkan mengunjungi rumah berkenaan bagi menguruskan ibu suspek yang sudah uzur berusia 90-an.Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemukan Kiyoko dalam keadaan yang sangat mengerikan dan berlumuran darah dengan kesan tikaman dalam pada bahagian leher.Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah yang dialami.Di lokasi yang sama, polis turut menemukan lelaki yang dipercayai membuat panggilan kecemasan tersebut dalam keadaan kritikal selepas bertindak mengelar lehernya sendiri.Suspek juga disahkan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di hospital.Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemukan sebilah pisau yang masih berlumuran darah berhampiran badan suspek.Entah apa yang merasuknya, namun ibunya yang berusia 90-an dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.Pihak polis kini sedang meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kejadian berdarah yang mengejutkan penduduk setempat itu. -Agensi