suria

Asean, digital dan NIMP2030: Tiga pemacu utama prestasi ekonomi Malaysia 2025

Menurut Zafrul, peningkatan ini sejajar dengan sasaran NIMP2030 untuk memperkukuh eksport lebih tinggi.

MALAYSIA memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau melalui Kepengerusian Asean Malaysia pada tahun 2025. 

Sementara itu, Malaysia juga berjaya mencatat peningkatan ketara dalam pelaburan digital dan pertumbuhan eksport sektor sasaran 2025 seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Kejayaan itu dibentangkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 pada Khamis.

Pengerusi Asean: Malaysia pandu pemerkasaan ekonomi serantau

Sebagai pengerusi tonggak ekonomi Asean pada tahun ini, MITI berjaya menyiapkan 12 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi ASEAN (Priority Economic Deliverables, PEDs), menurut Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025.

Baki enam keutamaan lagi juga sedang diusahakan dan dijangka selesai menjelang akhir tahun 2025, sekali gus menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda ekonomi serantau.

Pencapaian ini juga menunjukkan kedudukan kukuh Malaysia dalam integrasi ekonomi ASEAN, merangkumi perdagangan, digitalisasi, tenaga mampan dan sokongan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Antara kejayaan lain adalah pemuktamadan substantif Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital atau Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang bakal menghasilkan kerangka digital serantau paling komprehensif.

Menurut laporan itu lagi, pelaksanaan DEFA akan membantu ASEAN mencapai nilai ekonomi digital sehingga AS$2 trilion menjelang 2030.

Malah, DEFA juga akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.

Bagi agenda kelestarian serantau pula, kedudukan Malaysia diperkukuh melalui penubuhan ASEAN MSME Green Transition Centre dan pelaksanaan program Inclusive Bisnes yang menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 10,000 MSME dalam amalan perniagaan rendah karbon.

Ia sekali gus memperluas penglibatan perusahaan kecil dalam transformasi hijau di peringkat serantau.

Dalam pada itu, sektor tenaga ASEAN terus melangkah ke hadapan apabila negara-negara anggota sebulat suara meletakkan sasaran kapasiti tenaga boleh baharu 45 peratus menjelang tahun 2030 dan pengurangan intensiti tenaga 40 peratus berbanding paras 2005.

Hala tuju peralihan tenaga yang lebih saksama ini dibantu oleh Malaysia melalui peranannya sebagai pemacu dialog tenaga serantau.

Rangka kerja perdagangan juga terus dikukuhkan lagi melalui penyelarasan semula ATIGA dan ACFTA 3.0 yang mana ia akan menambah baik integrasi rantaian bekalan serta memudahkan aliran perdagangan.

Menurut laporan itu lagi, Malaysia juga berjaya melengkapkan beberapa rundingan strategik seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) dan Perjanjian Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat.

Minister of Investment, Trade and Industry Datuk SeriTengku Zafrul Aziz briefing the media on MITI Third Quarter 2025 Performance Report Card at Menara MITI, Kuala Lumpur.—SAMUEL ONG/The Star

Zafrul ketika membentangkan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 pada Khamis.

Pelaburan digital semakin meningkat: Pemangkin ekonomi baharu

Sektor digital mencatat pertumbuhan kukuh dengan jumlah pelaburan digital yang diluluskan mencapai RM335.3 bilion bagi tempoh 2021 hingga separuh pertama 2025, yang turut mewujudkan 105,486 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu projek berkaitan pusat data kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM235.1 bilion (70.1 peratus), selain mencatat kesan pengganda 6.6 kali kepada ekonomi.

Peningkatan ini selari dengan aspirasi NIMP2030 untuk memacu pelaburan berasaskan teknologi dan inovasi.

Eksport sektor sasaran NIMP2030 meningkat kukuh pada 2025

Eksport sektor bernilai tinggi sasaran NIMP2030 menunjukkan momentum memberangsangkan bagi tempoh Januari sehingga September 2025 berbanding tahun sebelumnya. 

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) merekodkan pertumbuhan 16.7 peratus, diikuti mesin, peralatan dan komponen (14.4 peratus), produk farmaseutikal (24.7 peratus) serta peralatan optik dan saintifik (5.1 peratus). 

Peningkatan ini sejajar dengan sasaran NIMP2030 untuk memperkukuh eksport berasaskan kecanggihan teknologi, inovasi serta nilai tambah tinggi.

Secara keseluruhan, pencapaian Malaysia dalam menerajui agenda ekonomi Asean, diikuti lonjakan pelaburan digital dan peningkatan eksport sektor sasaran NIMP2030, menunjukkan hala tuju ekonomi negara kekal positif.

Perkembangan ini menegaskan bahawa Malaysia berada pada landasan kukuh untuk membina ekonomi berasaskan teknologi yang lebih kompetitif dan berdaya tahan.

Artikel Lain