SATU hantaran yang dimuat naik oleh akaun rasmi milik Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di laman X mencuri tumpuan apabila memaparkan gambar Sungai Kelantan yang dirakam dari angkasa lepas.
Bersama gambar tersebut, akaun itu turut memuat naik tiga imej lain dari lokasi berbeza bagi memaparkan pembentukan beting pasir dan corak air secara semula jadi di bumi.
"Imej air dari stesen ini menonjolkan beting pasir di Bahamas, Teluk California, Sungai Kelantan di Malaysia dan Tasik Pyramid di Nevada.
"Secara keseluruhannya, ia menggambarkan kepelbagaian hidrosfera bumi serta proses yang membentuknya," demikian kapsyen pada hantaran yang dimuat naik pada Sabtu.

Perkongsian yang dimuat naik akaun X milik ISS pada Sabtu.
Pengguna media sosial di negara ini tidak ketinggalan meluahkan rasa teruja di ruangan komen kerana salah satu lokasi di Malaysia 'terpilih' untuk dipaparkan di laman rasmi ISS.
"Kawe banggo (saya bangga).
"Paling penting, Kelantan turut disebut!" komen beberapa netizen.
Namun apa yang mencuri tumpuan, ada antara pengguna yang meninggalkan komen berbaur lucu kerana air sungai negeri Pantai Timur itu kelihatan begitu keruh.
"Teh tarik seen from space (teh tarik dilihat dari angkasa lepas).
"Kita semua tahu mana satu Sungai Kelantan," komen netizen.
Bagaimanapun, seorang pengguna berpandangan warna sungai tersebut kelihatan sangat keruh berkemungkinan disebabkan hujan lebat semasa musim tengkujuh ketika ini.


