suria

[V] Kemuncak Ulang Tahun mStar-Suria 2018 meriah... Peminat, artis popular riang bercanda di Sunway Lagoon

KEMUNCAK sambutan ulang tahun mStar ke-20 dan Suria FM ke-18 berlangsung meriah apabila peminat kedua-dua produk hiburan ini serta selebriti popular tanah air berhimpun sambil bercanda di Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor.

Berlangsung pada Ahad, seramai 200 peserta bertuah yang dipilih melalui kuiz kreatif di media sosial mStar serta segmen panggilan Suria FM tiba seawal pukul 9 pagi sebelum 'berkampung' sepanjang hari bagi menyertai aktiviti-aktiviti menarik yang telah disusun.

Nabila Razali (kiri) dan Wany Hasrita turut hadir memeriahkan acara.

Suasana di taman tema penuh keriangan ini menjadi bertambah gamat sebaik sahaja barisan selebriti popular tanah air tiba untuk melayan serta melakukan aktiviti bersama peminat.

Acara yang paling 'kecoh' serta mencabar minda dan fizikal tentunya 'explorace' Sunway Challenge yang menyaksikan selebriti bersama ahli kumpulan masing-masing melengkapkan cabaran di sekitar taman tema.

Selebriti terlibat seperti Wany Hasrita, Ara Johari, Bella Astillah, Nadia Brian, Muaz Zabir, Aiman Tino, Rezza Shah, Badron Munirah, Marc Syahmie dan Qireen Din cukup 'sporting' malah bekerja keras untuk melengkapkan tugasan yang diberikan.

Sesi potong kek dan pulut sebagai simbolik kemuncak sambutan ulang tahun mStar-20 dan Suria FM-18.

Turut menyertai aktiviti ini adalah penyampai-penyampai Suria FM seperti Ajak Shiro, Cik Piah, Chiwan, Kai Hassan dan Elly Arifin.

Selepas penat bermain air dan permainan mencabar adrenalin, pentas di Sunway Lagoon pula meriah apabila Nabila Razali, Wany Hasrita, Ara Johari, Bella Astillah dan Najmi Niery membuat persembahan.

Nadia Brian (kiri) dan Muaz Zabir ketika sesi ramah mesra bersama pembaca mStar dan pendengar Suria FM.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata penganjuran sambutan ulang tahun kali ini membuktikan mStar sentiasa menghargai pembacanya yang selama ini tidak pernah jemu menyokong portal ini sehinggalah usianya dua dekad.

Lebih istimewa, terdapat kelainan untuk sambutan kali ini yang menyaksikan kolaborasi mStar bersama Suria FM yang menyambut ulang tahun ke-18.

"Komitmen ini dapat memperkukuhkan jenama bukan sahaja mStar yang sudah dikenali, sebaliknya Suria FM yang memperkenalkan tagline terbaharunya pada tahun ini.

Setiap kumpulan perlu melengkapkan cabaran 'explorace' Sunway Challenge.

"Kejayaan kolaborasi ulang tahun mStar bersama Suria ini memungkinkan acara serupa dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan pembaca, pendengar dan selebriti tanah air," katanya.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin turut menzahirkan penghargaan atas sambutan luar biasa peminat yang hadir dari seluruh negeri.

Setiap kumpulan digandingkan dengan wakil selebriti untuk menyelesaikan tugasan 'explorace'.

"Buat pertama kali sambutan ulang tahun dianjurkan secara bersama dan kita dapat lihat suasana sangat meriah dengan kehadiran rakan-rakan selebriti dan influencer yang sangat sporting, juga pendengar Suria FM dan pembaca mStar.

"Seramai 300 orang 'berkampung' di Sunway Lagoon dan pihak Suria FM dan mStar berharap untuk adakan acara lain dengan skala lebih besar," katanya.

Pembaca mStar dan pendengar Suria FM berpeluang beramah mesra dengan artis.

Selain aktiviti interaktif dan persembahan artis, terdapat juga kejutan apabila beberapa anugerah diumumkan seperti Peserta Paling Havoc (Lelaki dan Wanita) Selebriti Paling Havoc, Paling Aktif, Paling Function, Gaya Santai, On Time serta Selebriti Paling Sporting.

Acara kolaborasi ini menutup siri sambutan yang telah berlangsung Oktober lalu merangkumi pertandingan boling dan pickleball.

Peserta dan selebriti gembira pulang bersama hadiah-hadiah menarik.

Sebelum ini, mStar turut menganjurkan sesi bertemu peminat seperti mStar Belanje sempena final Euro 2024 serta mStar Birthday Splash pada tahun sama.

Tahun ini, Sunway Lagoon yang menjadi penaja lokasi sekali lagi menyaksikan penyatuan terbesar antara pembaca, pendengar dan artis dengan mencipta memori baharu dalam sejarah dua dekad mStar dan 18 tahun Suria FM di persada hiburan tanah air.

Artikel Lain