suria

Mayat wanita dalam beg: Lelaki 41 tahun direman seminggu bantu siasatan

Lokasi mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di bahagian belakang sebuah rumah di Pedas.

POLIS menahan seorang lelaki berusia 41 tahun susulan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di bahagian belakang sebuah rumah di Pedas, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek ditahan pada petang Khamis, di Melaka.

Menurut beliau, polis telah memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan.

"Bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan pada Jumaat bagi menentukan identiti serta punca kematian," katanya.

Idzam berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan, jasad yang ditemui itu dipercayai seorang wanita berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, pada 15 Disember lalu.

Wanita berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Suri Narudin, dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak 8 Disember sebelum laporan orang hilang dibuat.

Laporan tersebut kemudiannya dirujuk ke Balai Polis Pedas, sekali gus membawa kepada operasi penggeledahan di sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg yang mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam di bahagian belakang rumah berkenaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di 06-685 2222 bagi membantu siasatan. -The Star

 

Artikel Lain