POLIS mengesahkan identiti mayat seorang wanita yang ditemukan dalam beg yang ditanam di bahagian belakang sebuah rumah di Pedas, Negeri Sembilan, sebagai Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh hasil pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang dijalankan oleh pihak polis.
"Satu set cap jari mangsa telah dikemukakan ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan semakan.
"Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang melalui laporan polis di Balai Polis Ampang pada 15 Disember 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita dalam beg: Lelaki 41 tahun direman seminggu bantu siasatan
Beliau menambah, laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic Acid) yang diterima pihak polis daripada Jabatan Kimia Malaysia, menunjukkan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga wanita terbabit.
"Hasil keputusan analisis DNA mendapati, spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat iaitu adik-beradik kandung dengan kebarangkalian hubungan yang sangat tinggi.
"Penemuan ini sekali gus mengukuhkan proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Binti Narudin," katanya lagi.
Sebelum ini negara digemparkan dengan berita penemuan jasad dalam sebuah beg di sebuah rumah di Rembau pada 18 Disember lalu, dipercayai seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember,
Susulan penemuan tersebut, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka dan di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


