suria

Geng ‘Jejaka’ batalkan program Glamping With Pride atas faktor keselamatan - “Kami bukan ancaman”

Poster program yang dijadualkan berlangsung pada pada 17 dan 18 Januari di Hulu Langat, Selangor.

PROGRAM Glamping With Pride anjuran sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) dikenali sebagai Jejaka, dibatalkan atas faktor keselamatan.

Perkembangan tersebut diumumkan oleh Jejaka menerusi kenyataan media di Facebook pada Selasa. 

Menurut kenyataan tersebut, program yang dijadualkan berlangsung pada pada 17 dan 18 Januari di Hulu Langat, Selangor, tidak dapat diteruskan berikutan 'perkembangan keselamatan yang serius dan membimbangkan sejak beberapa hari lalu'.

ARTIKEL BERKAITAN: Pihak terlibat program Glamping With Pride perlu dikenakan tindakan tegas - Mufti W.Persekutuan

"Pemilik lokasi telah batalkan tempahan atas faktor keselamatan. Pihak kami turut menerima ancaman keselamatan termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.

"Ancaman-ancaman ini telah didokumentasikan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis," menurut kenyataan berkenaan.

Jejaka menjelaskan, pembatalan berkenaan bukan disebabkan aktiviti rekreasi anjuran mereka menyalahi undang-undang atau sebaliknya, tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan momokan (fear mongering).

Kumpulan itu turut menyatakan kekesalan mereka dengan kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwa gagal menenangkan keadaan dan mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman.

Kenyataan Jejaka mengenai pembatalan Glamping With Pride.

"Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan. 

"Hakikatnya LGBTQ+ (lesbian, gay, biseksual dan transgender dan queer) wujud di seluruh Malaysia, di bandar raya dan desa, dalam kalangan keluarga, tempat kerja dan komuniti serata negara.

"Kami bukan ancaman, kami bukan orang asing. Kami semua adalah rakyat Malaysia. 

"Hak kami untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan kewajipan untuk melindungi hak ini terletak pada semua pihak," tulisnya lagi.

Pada Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor agar mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup LGBT di negeri berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royale Office, baginda menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri berkenaan.

Jejaka sebelum ini memaklumkan akan meneruskan program perkhemahan berkenaan meskipun mendapat bantahan ramai.

Kumpulan itu berkata, program Glamping With Pride digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan, yang mana menurut mereka aktiviti sedemikian tidak melanggar undang-undang negara.

Artikel Lain