suria

Mesej ‘Kempen Tangkap Orang Kelantan’ undang kemarahan, ramai gesa ambil tindakan undang-undang

Penyebaran mesej 'Kempen Tangkap Orang Kelantan di UiTM' dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi.

PENGGUNA media sosial meluahkan rasa kurang senang terhadap penyebaran mesej palsu membabitkan pelajar dari negeri Kelantan serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berdasarkan tangkap layar mesej tersebut yang tersebar, tertera tajuk 'Kempen Tangkap Orang Kelantan di UiTM' yang dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi dan buli terhadap pelajar negeri itu.

"Pelbagai hadiah disediakan bagi setiap penangkapan (orang Kelantan), antaranya wang tunai RM100 bagi setiap pure Kelantan (Kelantan asli), RM50 bagi setiap mix Kelantan (Kelantan campuran) dan markah e-merit," tulis mesej itu.

Rata-rata pengguna media sosial menggesa agar pihak UiTM menyiasat serta mengambil tindakan ke atas individu yang menghebahkan mesej berkenaan.

"Adakah ini kelakar? Tidak. Pelajar sekarang dah tak hormat institusi ilmu ke? Guna nama UiTM menyebarkan benda macam ni atas nama bergurau," tulis seorang wanita di Thread.

"Cari admin grup dan dakwa dia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Buat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Lapor juga dekat UiTM sebab guna nama UiTM," tulis seorang lagi individu.

Pengguna media sosial yang lain turut meluahkan rasa jengkel terhadap jenaka membabitkan Kelantan yang dikatakan semakin melampau.

"Tolong jangan biasakan lawak begini. Saya orang Kelantan, biasanya tak kisah orang buat lawak tentang Kelantan. Tapi yang ini sudah melampaui batas.

"Saya yang bukan Kelantan pun menyampah tengok orang asyik mengata Kelantan je. Tak ada adab langsung," tulis netizen lagi.

Artikel Lain