suria

Ibu tunggal didenda RM1,500, benarkan anak bawah umur memandu hingga ragut tiga nyawa

Nur Farahidayah A Rahman dilihat meninggalkan mahkamah selepas membayar denda.

SEORANG ibu didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan gara-gara membenarkan anak lelakinya yang masih di bawah umur memandu kereta sehingga terbabit dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan Nur Farahidayah A Rahman, 40, dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

“Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah oleh tertuduh, faktor mitigasi dan hujahan pihak-pihak serta faktor pemberat, mahkamah dengan ini menjatuhkan denda RM1,500 kepada tertuduh dan jika gagal dibayar akan dipenjara selama tiga bulan,” kata Nurul Azuin.

Nur Farahidayah didakwa membenarkan anak lelakinya yang berusia 17 tahun memandu keretanya di persimpangan Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights kira-kira pukul 8.30 malam pada 6 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguamnya, Johan Radzi, memohon mahkamah mengenakan denda minimum kerana anak guamnya merupakan ibu tunggal yang perlu menyara ibu bapanya serta enam anak, dengan empat daripadanya masih bersekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Honda Jazz rempuh 2 remaja hingga maut tiada lesen memandu - Polis

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas dirempuh Honda Jazz: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Menurutnya, tertuduh bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan makanan sejak 20 tahun lalu.

Johan berkata tertuduh juga merupakan pesalah kali pertama dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa yang menyiasat kes berkenaan.

Timbalan pendakwa raya Khairunnisa Zainuddin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana tiga remaja kehilangan nyawa akibat kecuaian tertuduh.

“Selain kematian mangsa, mahkamah juga perlu mempertimbangkan kepentingan awam ketika menjatuhkan hukuman,” katanya.

Mengikut fakta kes, anak tertuduh melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua buah motosikal.

Tiga remaja berusia 15, 16 dan 17 tahun maut dalam kemalangan itu.

Anak lelaki tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa atas pertuduhan memandu secara melulu pada 22 April tahun lalu.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada bersalah pada Disember lalu dan dijadualkan dijatuhi hukuman pada Mei depan sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

Artikel Lain