suria

Pemandu bas, wanita duduk atas riba dihukum penjara... Diarah bayar denda RM5,000

Dua individu itu dijatuhi hukuman penjara dan didenda RM5,000 selepas membuat pengakuan bersalah.

SEORANG pemandu bas ekspres yang dirakam meriba kekasihnya ketika sedang memandu dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Jasin, Melaka pada Jumaat.

Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dipenjara setahun manakala wanita itu pula, Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan.

Kedua-dua mereka turut didenda RM5,000 selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dua individu itu dituduh memandu sebuah bas dengan nombor pendaftaran APE 9588 dengan cara yang berbahaya kepada orang awam.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pemandu riba wanita ketika bas bergerak di lebuh raya, ramai bengang lihat aksi mesra tak kena tempat

ARTIKEL BERKAITAN: Terima habuan! Pemandu bas riba wanita dibuang kerja serta-merta

Mahkamah turut mengarahkan pasangan itu dikenakan hukuman penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Mengikut fakta kes, kesalahan itu dibuat di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pukul 7.30 petang, 12 April.

Untuk rekod, mStar pada 13 April melaporkan sebuah video memaparkan pemandu bas yang meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak tular di media sosial.

Video itu mengundang kemarahan netizen selepas ia dikongsi oleh seorang penumpang yang menaiki bas berkenaan.

Pada hari sama, mStar turut melaporkan pemandu itu diberhentikan kerja berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dimaklumkan syarikat bas ekspres terbabit, Sri Maju Group selepas mendapati tingkah laku individu tersebut melanggar prosedur operasi yang ditetapkan.

Artikel Lain