suria

Program 1PD1Produk ubah Perpustakaan Desa jadi hab ekonomi komuniti 

Bengkel kraf kreatif dijalankan di Perpustakaan Desa Kampung Bukit Kerayong 1. -Gambar Facebook PD Kg Bkt Kerayong 1 Kuala Selangor Selangor

KEMENTERIAN Perpaduan Negara telah memberikan nafas baharu kepada Perpustakaan Desa melalui pelaksanaan program 1 Perpustakaan Desa 1 Produk (1PD1Produk).

Program ini bertujuan untuk mengubah peranan Perpustakaan Desa dari sekadar pusat pembacaan kepada sebuah platform pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh. 

Dengan pendekatan ini, setiap Perpustakaan Desa perlu mengetengahkan sekurang-kurangnya satu produk, perkhidmatan, atau identiti komuniti yang unik dan mempunyai potensi komersial, sekaligus menyokong pembangunan ekonomi setempat.

Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai wadah penyebaran ilmu, tetapi turut memberi fokus kepada pemberdayaan komuniti luar bandar. 

Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa masyarakat luar bandar dengan pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang,menyatakan bahawa Perpustakaan Desa perlu menjadi pusat komuniti yang menghubungkan masyarakat, serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan.

Perpustakaan desa bukan sekadar tempat untuk membaca buku. -Foto ANDRE OLIVEIRO/SMG

Sehingga kini, sebanyak 488 produk telah dikenal pasti dalam pelbagai kategori seperti makanan tradisional, kraftangan, pertanian, dan perkhidmatan berasaskan pengalaman tempatan.

Produk-produk ini disusun mengikut negeri dan disasarkan untuk tujuan promosi berterusan. 

Produk Makanan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 296 produk, diikuti oleh Produk Perkhidmatan (128), Produk Kraftangan (56), dan Produk Pertanian (8).

Dari segi taburan negeri, Negeri Sembilan mencatatkan jumlah rekod tertinggi dengan 60 produk, diikuti oleh Kedah (59), Sabah (48), dan Perak (44). 

Keberhasilan ini menunjukkan komitmen negeri-negeri dalam memperkukuh peranan Perpustakaan Desa dalam pembangunan komuniti mereka.

Perpustakaan Desa di setiap kawasan dikenali dengan kekuatan tempatan mereka dalam mengenal pasti produk atau identiti komuniti yang sesuai.

Setiap produk direkodkan secara teratur, termasuk maklumat seperti nama produk, kategori, penerangan, lokasi, dan pengusaha yang terlibat.

Data ini digunakan untuk tujuan promosi melalui pelbagai saluran seperti program komuniti, pameran, media sosial, dan kerjasama tempatan.

Langkah ini membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada usahawan kecil serta meningkatkan keterlihatan produk tempatan.

Secara keseluruhan, program 1PD1Produk telah memberikan impak positif kepada pengusaha kecil dengan meningkatkan keterlihatan produk mereka dan mengeratkan hubungan antara Perpustakaan Desa dan komuniti. 

Aktiviti membuat kraf tangan daripada botol terpakai. -Gambar Facebook PD Kg Bkt Kerayong 1 Kuala Selangor Selangor 

Program ini juga berjaya memperkukuh identiti komuniti setempat dan membantu dalam pembangunan ekonomi yang mampan.

Selain itu, Kementerian Perpaduan Negara juga terus berusaha mempromosikan amalan membaca dengan melancarkan kempen Jom Baca 10 Minit Setiap Hari. 

Kempen ini bertujuan untuk menghidupkan semula budaya membaca dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi negara pembaca menjelang tahun 2030. 

Dengan tema "Membaca Membina Bangsa", kempen ini diharapkan dapat menanamkan minat membaca di semua peringkat umur dan seterusnya melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdaya saing.

Melalui langkah-langkah ini, Perpustakaan Desa diharapkan dapat terus menjadi pusat pembangunan komuniti yang lebih berdaya saing dan berpotensi, terutamanya dalam konteks masyarakat luar bandar yang memerlukan sokongan dan bimbingan dalam mengembangkan ekonomi setempat.

Ringkasan rekod mengikut kategori standard

Ringkasan rekod mengikut negeri

Ringkasan rekod mengikut kategori standard

Artikel Lain