SEORANG janda muda meluahkan rasa tertekan selepas rumahnya dikunjungi wakil pejabat agama sebanyak beberapa kali dalam tempoh sebulan susulan terdapat aduan kehadiran lelaki di kediamannya.
Dalam kejadian terbaru pada pagi Rabu, wanita itu memaklumkan ketika serbuan hanya adik lelakinya berada di rumah kerana dia sudah keluar bekerja.
Menurutnya, serbuan kali ketiga itu dibuat selepas dia mencabar komuniti ditempat tinggalnya agar datang ke rumah memeriksa status penghuni.
Bergosip sambil menikmati mempelam antara aktiviti golongan wanita yang hidup berjiran. -Gambar hiasan AI
"Saya nak tanya siapa yang lapor pejabat agama tentang rumah saya ni? Dah dua kali datang rumah. Yang ada dekat rumah tu adik kandung saya. Bukan adik angkat.
"Saya tinggal seorang diri di rumah tu, dia datang teman. Siapa yang tak percaya, datang je ke rumah. Saya tunjuk surat beranak," katanya seperti dikongsikan di Thread.
Mesej berkenaan dihantar pengadu dalam grup WhatsApp komuniti di rumahnya beberapa hari sebelum serbuan kali ketiga.
Bercerita lanjut tentang serbuan terbaharu itu, wanita berkenaan berkata kali ini seramai tujuh wakil pejabat agama datang ke rumahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sombong tapi elak tambah dosa! Suami buka cerita punca isteri enggan bersosial sesama jiran
ARTIKEL BERKAITAN: Niat baik, lelaki tak sangka isteri mengamuk lepas bantu jiran kecil molek angkat beras... Mahu layanan sama walau 'berdaya' buat kerja berat
"Dalam tujuh orang datang, ada lelaki dan perempuan. Salah seorang daripada mereka cakap tindakan saya hantar mesej begitu (seolah-olah mencabar) dalam grup tu seperti mengaibkan diri sendiri.
"Tapi saya jawab la, kalau saya tak cakap macam tu di grup, dekat mana lagi saya nak jelaskan bahawa lelaki yang tinggal dengan saya adalah adik sendiri," katanya.
Ujar wanita itu lagi, pegawai yang hadir berkata dia sepatutnya memaklumkan tentang adiknya kepada ketua blok atau ahli jawatankuasa setempat bagi mengelakkan salah faham.
- Janda muda tertekan rumahnya dikunjungi pejabat agama dua kali akibat aduan jiran.
- Penjelasan dalam grup WhatsApp menyebabkan dia pula dipersalahkan.
- Pegawai menasihati hubungi ketua blok atau AJK taman.
- Wanita ditegur supaya lebih bergaul, walaupun mahu privasi.
- Netizen dakwa aduan berpunca daripada cemburu jiran.
"Tapi sebelum tu mereka ada cakap bahawa bukan orang taman ni yang report, orang taman ni tak campur hal orang.
"Jadi tak salah pun saya post macam tu sebab grup tu campur dua hingga tiga taman," katanya lagi.
Dalam pertemuan itu juga, wanita berkenaan turut ditanya tentang penglibatannya dalam aktiviti komuniti.
"Mereka suruh saya bergaul. Saya cakap tidak sebab sibuk dengan kerja. Kita ni ibu tunggal, mana ada masa nak bergaul. Nak kerja, uruskan anak, uruskan rumah.
"Tapi mereka suruh saya cuba bergaul juga. Kata mereka kalau nak privasi dan tak nak bercampur dengan orang, di sini bukan tempatnya," katanya lagi.
Sementara itu netizen mendakwa status wanita berkenaan mendorong ada jiran yang cemburu hingga membuat aduan kepada pejabat agama.
"Awak cantik, sebab tu ada yang dengki. Makcik bawang takut laki masing-masing tengok awak. lepas tu mesti ada yang suka tokok tambah cerita.
"Masalah dengan komuniti kita, ibu tunggal macam awak tak nak tolong, tanya khabar ke apa ke. Yang disibukkan hal dalam rumah," demikian komen netizen.


