PERTIKAIAN mahkamah antara pelakon terkenal Brad Pitt dan bekas isterinya, Angelina Jolie, terus hangat apabila aktor itu dilaporkan memfailkan saman bernilai AS$35 juta (kira-kira RM146 juta).
Menurut laporan People, dokumen mahkamah terbaharu bertarikh 29 Oktober mendedahkan pertukaran e-mel antara pasukan peguam kedua-dua pihak pada November 2023.
Pertukaran e-mel itu mengesahkan tindakan Pitt menyaman Jolie berhubung isu penjualan ladang wain mewah mereka, Château Miraval di Perancis.
Pasangan itu membeli ladang berkenaan pada tahun 2011 dengan nilai anggaran RM282 juta.

Pitt (kanan) ingin menuntut hak ke atas isu penjualan ladang wain milik mereka.
Namun, sejak Jolie, 50, memfailkan perceraian pada 2019, dia didakwa melanggar perjanjian terdahulu yang menetapkan bahawa tiada pihak boleh menjual pegangan masing-masing tanpa persetujuan bersama.
Pada Oktober 2023, peguam Jolie dilaporkan memberi amaran bahawa Pitt berhasrat menuntut ganti rugi berterusan atas dakwaan kerosakan terhadap operasi Miraval.
Peguam Jolie turut mendakwa Pitt enggan menyerahkan dokumen yang menjelaskan sebab pihaknya memerlukan perjanjian Non-Disclosure Agreement (NDA) selama empat tahun, yang melibatkan dakwaan salah laku peribadi.
Menurut mereka, dokumen berkenaan penting dan menjadi teras utama kes ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Brad Pitt mula menyesal, masih sayang Angelina Jolie... Cerai jejaskan hubungan dengan anak-anak
ARTIKEL BERKAITAN: Angelina Jolie dan Brad Pitt akhirnya sah bercerai selepas 8 tahun berpisah
Jolie sebelum ini mendakwa Pitt mahu dia menandatangani NDA bagi menghalangnya daripada bercakap secara terbuka mengenai dakwaan penderaan lisan dan fizikal, termasuk insiden ketika mereka menaiki jet peribadi bersama anak-anak angkat mereka pada tahun 2016.
Bagaimanapun, pihak Pitt menegaskan NDA tersebut hanyalah langkah perlindungan perniagaan biasa berkaitan urusan Miraval dan penjualannya.
Pelakon Fight Club itu mula mengambil tindakan undang-undang terhadap Jolie pada 2022 selepas mendakwa bekas isterinya melanggar perjanjian dengan menjual sahamnya dalam Château Miraval kepada Tenute del Mondo, cabang wain di bawah Stoli Group.
Sebagai tindak balas, Jolie menafikan kewujudan sebarang perjanjian pra-jualan dan mengemukakan saman balas terhadap Pitt.
Jolie turut menggunakan hak keistimewaan peguam-klien bagi menolak permintaan untuk menyerahkan komunikasi sulit berkaitan penjualan tersebut, menyebabkan Pitt memohon pembebasan 22 dokumen berkenaan pada 29 Oktober lalu.
Dalam hujah mahkamahnya, pasukan Pitt menuduh Jolie menyalahgunakan keistimewaan tersebut bagi menyembunyikan dokumen penting yang menjadi nadi kepada kes ini.

Pitt (kanan) dan Jolie bercerai pada Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Pitt berkahwin dengan Jolie pada 2014, namun berpisah dua tahun kemudian.
Mereka sah bercerai pada Disember tahun lalu.
Mereka memiliki tiga orang cahaya mata bersama iaitu Shiloh, Vivienne dan Knox.
Selain itu mereka turut mengambil tiga angkat iaitu Maddox, Pax dan Zahara.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


