suria

Kesihatan kurang baik, rupanya Sarimah Ahmad baru keluar ICU akibat masalah diabetes

Sarimah sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat diabetes.

MASALAH diabetes yang dihidapi oleh seniwati Datuk Sarimah Ahmad menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Menurut anaknya iaitu Yusarima Puteri Mohd Yusof, 54, keadaan ibunya ketika itu sangat kritikal dan jika lambat dirawat boleh menyebabkan komplikasi kronik termasuk koma dan strok. 

"Ibu saya ada diabetes, biasalah orang tua susah nak makan ubat sikit. Satu hari dia muntah teruk, dia lemah sangat. 

"Anak saudara saya yang juga merupakan seorang doktor meminta kami bawa ke hospital. Dialah yang uruskan semua. Dari situ baru kami (keluarga) tahu keadaan ibu memang kritikal, kalau terlambat sikit memang dia dah tak ada. 

Sarimah mengalami masalah kesihatan termasuk diabetes dan sakit jantung.

"Pada waktu itu tekanan darahnya sangat rendah dan tahap gulanya sudah masuk ke dalam darah. Doktor kata darah dah nak jadi masam, kalau keadaan begitu boleh membuatkan ibu koma atau strok," katanya kepada mStar. 

Menurut Yusarima, ibunya yang memang gemar menikmati juadah manis seperti kuih tradisional Melayu mungkin menjadi antara punca menyebabkan penyakit diabetes. 

Gara-gara kejadian yang berlaku itu, mereka sekeluarga kini lebih peka terhadap pola pemakanan ibunya.

"Ibu saya memang suka makan kuih-kuih Melayu, makan buah tapi dia tak mahu ambil ubat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 37 tahun berjuang, akhirnya Sarimah Ahmad dapat semula 4 pita asal filem

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sarimah Ahmad dedah derita kanser usus, kesan penyakit selepas pengsan dalam bilik air

"Nak buat macam mana, tapi Alhamdulillah disebabkan insiden itu (masuk hospital), kami jadi lebih peka dan menjaga makan minumnya dengan rapi. 

"Haritu dia lagi kurus sebab tak boleh makan sampai dia menangis sebab dia memang tak boleh makan. Alhamdulillah lepas doktor tukar ubat dan bagi insulin baru dia mula boleh makan semula," ujarnya. 

Doktor kata darah dah nak jadi masam, kalau keadaan begitu boleh membuatkan ibu koma atau strok. 

YUSARIMA PUTERI

ANAK SARIMAH AHMAD

Berkongsi perkembangan kesihatan Sarimah, Yusarima turut memberitahu ibunya juga mempunyai masalah jantung. 

Pun begitu, disebabkan usia Sarimah yang sudah lanjut, maka doktor tidak melakukan sebarang prosedur rawatan, sebaliknya hanya memberikan ubat-ubatan.

"Sewaktu pemeriksaan, doktor merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada jantung ibu. Sekarang ini, setiap bulan ibu perlu membuat pemeriksaan susulan di hospital. 

Sarimah kini berada dalam keadaan kurang sihat.

"Kalau ikutkan doktor mahu melakukan prosedur angiogram tetapi disebabkan faktor usia, kami cuba cari ikhtiar dengan memberikan ibu makan ubat dulu.

"Sekarang ni memang saya tidak beri dia buat macam-macam kerana dia akan cepat letih. Banyak perkara juga yang dia sudah tidak ingat," katanya. 

Pada tahun 2022, Sarimah menderita kanser usus tahap tiga namun selepas dua tahun beliau memaklumkan sudah bebas dan pulih daripada penyakit itu. 

Sebelum itu, Sarimah dilaporkan pernah menghidap kanser hidung, namun sudah pulih sepenuhnya pada tahun 2011.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Nas Ahmad meninggal dunia