TIDAK mahu perkara buruk berulang, penyanyi Akim Ahmad mengambil keputusan berhenti merokok selepas bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru tiga tahun lalu.
Akim atau Afiq Ahmad Hakim, 34, berkata, disebabkan itu juga dia mula berhenti merokok sejak tahun lalu dan menjalani gaya hidup lebih sihat.
"Keputusan berhenti merokok tahun lalu sebenarnya dibuat selepas tiga tahun ayah saya didiagnos kanser paru-paru.
"Jadi 'turning point' untuk saya dan adik-beradik lelaki yang lain, kami membuat keputusan tidak lagi merokok.
Akim nekad mahu menjalani gaya hidup lebih sihat.
"Kami ambil pendekatan untuk menjalani gaya hidup lebih baik dan sihat," katanya kepada mStar.
Akim berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Akim & The Majistret yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Akim memberitahu dia gembira melihat perkembangan positif terhadap dirinya selepas membuang tabiat buruk itu.
Kata Akim, dia kini lebih berstamina dan bertenaga ketika membuat persembahan di atas pentas.
ARTIKEL BERKAITAN:IG kena godam, Akim Ahmad pesan jangan tekan sebarang link dihantar akaunnya
ARTIKEL BERKAITAN:Diminta sertai program realiti, Akim Ahmad takut menangis tak mampu hadap tekanan
"Saya gembira melihat perkembangan diri saya selepas tidak lagi merokok dan saya lihat kesihatan bapa saya juga bertambah baik selepas dia berhenti merokok.
"Dalam masa sama, ia membantu karier saya sebagai penyanyi. Bila saya berhenti merokok, saya ada tenaga untuk bertahan lebih lama ketika beraksi di pentas," ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai keputusan yang dibuat, penyanyi lagu Mewangi ini mengakui pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk menghentikan tabiat merokok itu.
Saya gembira melihat perkembangan diri saya selepas tidak lagi merokok.
AKIM AHMAD
PENYANYI
Namun atas nasihat bapa yang meminta supaya dia berzikir dan beristighfar, lama-kelamaan ia sudah terbiasa untuk tidak lagi merokok.
"Saya tak nafikan pada mulanya memang susah untuk berhenti merokok ini. Saya selalu tanya pada diri sendiri, perlukah saya berhenti terus atau bagaimana.
"Alhamdulillah ayah saya selalu berpesan kalau rasa tak tahan untuk tidak merokok, dia suruh saya banyakkan berzikir.
Akim & The Majistret bakal menjayakan konsert solo 28 Jun ini.
"Saya selalu beristighfar dan itu sebagai salah satu cara terapi untuk saya bermeditasi, fokus kepada perkara lebih baik," katanya.
Dalam perkembangan lain, Konsert Akim & The Majistret dijadualkan berlangsung pada 28 Jun depan.
Dengan lebih 20 buah lagu bakal dibawa secara langsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, ia bukan sekadar konsert sebaliknya ini merupakan manifesto muzik rock Malaysia.
Tiket boleh didapati secara online di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM159 hingga RM249.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!