suria

Sedih bertukar gembira, Inteam terharu tonton parodi Avanza hijau dan kayu sugi

Dari kiri: Rahim, Hazamin dan Syahril tidak menyangka nama Inteam kembali menjadi sebutan ramai.

SELAMA 25 tahun bergiat aktif, nama kumpulan Inteam bukanlah asing bagi peminat genre nasyid yang sudah mengikuti perkembangan mereka sejak awal. 

Namun di sebalik lagu-lagu yang cukup popular, ada dalam kalangan generasi masa kini tidak mengenali secara terdekat siapa sebenarnya anggota yang menjadi teraju dalam kumpulan itu. 

Sedar akan hal tersebut, salah seorang ahlinya iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid meluahkan rasa sedih kerana keberadaan mereka dalam industri seni seakan kurang mendapat perhatian. 

Inteam bersyukur dengan penerimaan peminat di media sosial.

Inteam bersyukur dengan penerimaan peminat di media sosial.

"Sedih juga sebab anak-anak muda seakan tidak kisah dengan kami, mereka buat seperti tidak kenal. Keberadaan kami dalam industri kadang-kadang orang tak sedar. 

"Inteam sebenarnya banyak terlibat dalam acara-acara di sekolah untuk mereka lebih mengenali kami," katanya kepada mStar. 

Syahril berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun yang diadakan di D'Intan Hall Sri Damansara, Damansara pada Selasa. 

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Inteam tukar lokasi lebih besar, anak Suhaimi Saad bakal muncul buat persembahan

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket konsert Inteam ‘sold out’ dalam masa 2 jam, peminat minta tambah hari

Bagaiamapun kekecewaan itu terubat apabila lagu-lagu mereka seperti Kasih Kekasih kembai menjadi siulan selepas pengumuman konsert berkenaan dibuat. 

Lebih menggembirakan lagi, semakin banyak video parodi di laman sosial sebagai sambutan terhadap acara berkenaan. 

Terhibur dengan respons positif, seorang lagi ahlinya iaitu Abdul Rahim Osman juga tidak menyangka Inteam masih ada kelompok peminat yang ramai. 

Kami rasa gembira dengan apa yang mereka lakukan. 

ABDUL RAHIM OSMAN

PENYANYI NASYID

“Memang dua tiga hari ini kami selalu senyum sendiri depan telefon. Apa yang netizen lakukan itu sangat kelakar dan kami rasa gembira dengan apa yang mereka lakukan. 

"Sebenarnya kami tak sangka dalam usia 45 tahun ini, kami kembali menjadi sebutan ramai. Alhamdulillah seronok apabila mereka cuba untuk mengaitkan semua benda (parodi) dengan konsert kami," ujarnya. 

Pada 22 Mei lalu, penjualan tiket Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun mendapat sambutan luar biasa peminat apabila habis dijual dalam tempoh dua jam dilancarkan. 

Inteam bakal muncul dengan konsert Kasih Kekasih 25 tahun pada 28 September depan.

Inteam bakal muncul dengan konsert Kasih Kekasih 25 tahun pada 28 September depan.

Susulan itu, ramai peminat memuat naik video parodi mengaitkan perkara-perkara berkaitan dengan Inteam termasuk kereta jenis Toyota Avanza berwarna hijau dan kayu sugi.

Dalam perkembangan lain, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun kumpulan Inteam akan bertukar lokasi ke IdealLive, Petaling Jaya bagi menampung jumlah penonton lebih ramai.

Tiket baharu akan mula dijual pada 14 ajin 2025 menerusi platform Ticket Empire yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert www.kasihkekasih.com.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain