DALAM tempoh 12 tahun bergelar anak seni, pelakon Mimi Lana pernah dibelenggu rasa keliru terhadap arah tuju kerjaya dalam dunia lakonan suatu ketika dahulu.
Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abdiin, 30, berkata dia menerima pelbagai saranan orang dalam industri sehingga timbul keraguan terhadap pilihan kariernya.
"Beberapa tahun yang lalu, saya pernah keliru tentang arah tuju kerjaya saya. Di manakah tempat saya dalam industri ini? Patutkah saya fokus pada drama TV? Filem arus perdana? Atau karya indie?
Mimi tak mudah terpengaruh dengan kata orang.
"Terlalu banyak suara yang cuba menentukan 'kalau buat sini, tak boleh buat sana'. 'Kalau buat sana, tak layak di sini'," katanya.
Mimi berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya.
Enggan terus terganggu dengan pemikiran sebegitu, Mimi akhirnya nekad mencuba untuk ketenghahkan bakat di semua platform namun memberi tumpuan kepada naskah berkualiti.
ARTIKEL BERKAITAN: Hisap rokok dalam ‘Mencari Ramlee’, Mimi Lana batuk-batuk sampai sakit dada
ARTIKEL BERKAITAN: Syafiq Kyle dan Mimi Lana sah bergelar suami isteri
"Tapi sebagai seorang yang agak rebel terhadap kehidupan, saya berjanji pada diri sendiri yang saya akan berlakon di semua platform, selagi naskhah itu bagus.
"Tak kiralah kecil atau besar, drama atau filem, yang penting, ia memberi sesuatu pada penonton. Saya mahu setiap karya yang saya pilih bukan sekadar hiburan kosong, tapi sesuatu yang bermakna," ujarnya,
Dalam masa sama dia juga turut berkongsi keterujaan berlakon dalam filem terbaharu berjudul Mencari Ramlee yang akan memulakan tayangan pada 19 Jun ini.
Baginya penghasilan karya genre komedi cinta itu akan dapat memberi satu kepuasan berbeza buat penonton.
Mimi anggap Mencari Ramlee bukan komedi biasa.
"Mencari Ramlee adalah salah satu naskhah yang sangat saya hargai. Ia indah, ringan, penuh nostalgia dan menghormati legasi seniman agung Tan Sri P. Ramlee, dengan isi yang padat dan semangat kerja yang luar biasa di sebaliknya.
"Cerita seperti ini bukan datang setiap tahun. Mungkin hanya sekali dalam sedekad. Walaupun ini bukan filem box office yang gah, saya yakin ia akan menyentuh hati mereka yang benar-benar cintakan seni filem," kongsinya.
Filem Mencari Ramlee mengisahkan tentang Zakaria, seorang peniru gaya P. Ramlee yang bergelut dengan masalah kewangan dan sukar mendapatkan pekerjaan.
Selain Mimi, Mencari Ramlee turut dibintangi Tony Eusoff, Datin Sofia Jane, Megat Sharizal, Han Zalini dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube