suria

Josiah Hogan puji hasil kerja pengarah Misteri Fraser 1910, terima tawaran sebab Shuhaimi Zulkefli

Josiah pilih tak masuk campur urusan keduanya.

PELAKON Josiah Hogan memberi pujian terhadap kualiti pengarahan Shuhaimi Zulkefli dalam Misteri Fraser 1910 meskipun berdepan isu dalaman bersama penerbit. 

Josiah atau nama penuhnya Josiah Padilla Hogan, 38, berkata Shuhaimi berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik walaupun berdepan dengan kekangan daripada segi bajet dan masa yang terhad untuk penggambaran.

"Saya tolak tepi isu membabitkan penerbit dan pengarah, tetapi selepas melihat hasil akhirnya dengan bajet serta masa yang ada, saya rasa wajar untuk beri kredit kepada pengarah.

 Hubungan Shuhaimi (kir) dan penerbit Amai serta Elani tegang.

"Bukan mudah menghasilkan filem dalam masa yang singkat dengan bajet yang terhad. Berdasarkan bayaran yang diterima, saya tahu bajetnya tidak besar," katanya kepada mStar.

Josiah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Misteri Fraser 1910 yang berlangsung di Kuala Lumpur, malam Rabu lalu.

Menurut Josiah, kehadiran Shuhaimi sebagai pengarah turut menjadi faktor utama dia menerima tawaran berlakon dalam filem tersebut memandangkan mereka sudah lama mengenali melalui media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit Misteri Fraser 1910 sengaja tak jemput pengarah, mahu elak kekecohan

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit ‘Misteri Fraser 1910’ tuntut pengarahnya mohon maaf, minta ganti rugi RM1 juta

Katanya, Shuhami sudah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan mereka sering berhubung selepas itu.

"Saya sangat berpuas hati dapat bekerja dengannya. Antara sebab saya menerima tawaran ini kerana dia yang mengarah. Kami sudah lama menjadi kenalan di Facebook.

"Saya juga selama ini tertanya-tanya, kenapa kami belum pernah bekerjasama? Bila nama dia disebut dan diberitahu ini filem arahannya yang pertama, saya terus bersetuju untuk terlibat," jelasnya.

Sebagai pelakon utama dalam Misteri Fraser 1910, Josiah berkata, dia enggan campur tangan dalam konflik antara pengarah dan penerbit.

Pengarah adalah individu penting semasa di set penggambaran.

JOSIAH HOGAN

PELAKON

Jelasnya, sebagai pelakon, dia memegang prinsip bahawa pengarah merupakan individu paling penting di set penggambaran yang menentukan hala tuju sesebuah karya.

"Saya tahu apa yang berlaku di antara mereka, dan saya juga maklum isu itu agak serius.

"Namun, saya berpegang kepada prinsip yang sering dipesan kepada pelakon iaitu pengarah adalah individu paling penting semasa di set. Maksudnya, dalam dunia filem itu, dia yang mencipta dan menentukan segalanya," ujarnya lagi.

        

Hanya barisan pelakon  seperti Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra dan Josiah Hogan diundang penerbit untuk berkongsi pengalaman penggambaran.

Ketegangan hubungan penerbit filem Misteri Fraser 1910 iaitu Amai Kamarudin dan Elani Aidid bersama Shuhaimi seakan-akan tidak menemui jalan penyelesaian apabila pengarah itu tidak diundang ke majlis tayangan perdana yang diadakan pada malam Rabu.

Pada Mac lalu kedua-dua penerbit itu menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta dan permohonan maaf daripada Shuhaimi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah.

Tuntutan itu dibuat selepas Shuhaimi didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di media sosial miliknya pada 23 Mac lalu dengan mengatakan syarikat itu tidak membayar gaji kru sehingga filem tersebut disekat daripada tayangan. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain