ANAK kepada pelakon Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman memohon jasa baik pemilik rumah memahami keadaan mereka yang memerlukan sedikit masa bagi melangsaikan bayaran sewa.
Syafiq, 36, berkata, sebagai seorang pelajar dia tidak mampu melunaskan bayaran sewa dalam masa singkat, tambahan pula pemilik rumah itu didakwa tidak mahu memberi kerjasama.
"Tak minta banyak, minta tuan rumah faham. Baitulmal nak tolong bayarkan pun dia tak nak kerjasama.
"Dah tu macam mana? Manalah pelajar mampu nak cari duit banyak-banyak dalam masa singkat," katanya.
Perkongsian Syafiq menerusi Instastory miliknya.
Syafiq berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.
Dalam hantaran dibuat, Syafiq dipercayai memaparkan perbualan mesej bersama pemilik rumah tersebut yang mahu dia dan bapanya keluar daripada kediaman sewa pada 31 Julai ini.
Menurut perkongsian mesej itu, bayaran sewa tertunggak yang perlu dilunaskan adalah sebanyak RM3,900 namun pemilik rumah mengambil keputusan menolak daripada wang deposit berjumlah RM2,600.
Dalam pada itu, Syafiq turut berkongsi foto terkini bapanya yang dilihat semakin kurus.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak kena kecam tak bantu Dharma Harun, Syafiq berserah kepada Allah tunjuk kebenaran - “Cukup kami sekeluarga tahu”
ARTIKEL BERKAITAN: Selesai bayar tunggakan sewa rumah, keluarga Dharma Harun sedia jika terpaksa berpindah
Pun begitu, anak pelakon filem Adik Manja ini terus kekal positif melalui ujian diterima dan akan tetap menamatkan pelajaran dengan keputusan cemerlang untuk mengubah nasib keluarga mereka.
"Ayah saya semakin kurus, tapi inilah dugaan kami dengan macam-macam masalah nak hadapi.
"Tapi tak mengapa setiap masalah ujian saya untuk berjaya dan terus berusaha agar dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran. Moga satu hari nanti saya dapat pekerjaan yang baik.
"Sokongan ramai dan doa orang yang buat kami masih bernafas dalam ruang udara sempit. Nak bersedih pun buat apa, ikutkan kecil sahaja dugaan ini, ramai lagi susah di luar sana. Kami kena bersyukur dan tabah," ujarnya.
Syafiq tidak tergamak mahu menghantar Dharma (kanan) ke rumah kebajikan.
Menerima pelbagai respon di media sosial, Syafiq bagaimanapun menyelar tindakan orang ramai yang mencadangkan untuk menghantar bapanya ke rumah kebajikan.
Tegas Syafiq, dia sedaya upaya akan menjaga bapanya itu dengan baik kerana mengenangkan pengorbanan Dharma membesarkan mereka adik-beradik.
"Maaf kepada yang bagi idea suruh hantar bapa saya ke rumah kebajikan, saya tidak boleh terima.
"Bapa saya jaga kerenah saya dari kecil dan bila dah tua kenapa saya tak boleh jaga dia terutama bila dia sakit dan tiada isteri?
Syafiq (kiri) akan sentiasa menjaga Dharma dengan sebaiknya.
"Saya hargai kebimbangan anda tapi jangan pisahkan saya dan ayah. Macam mana keadaan baik buruk dia, dia tetap ayah saya. Dia tanggungjawab saya yang Allah bagi. Insya-Allah ada jalan untuk masalah rumah kami," katanya.
Pada Jun tahun lalu, kisah Dharma dan keluarga menjadi tumpuan ramai apabila dia dikatakan mengalami kesukaran membayar tunggakan bayaran sewa rumah sebanyak RM7,500.
Ia susulan dirinya sendiri kini tiada pendapatan tetap dan tidak banyak menerima tawaran kerja disebabkan masalah kesihatan.
Dharma juga berdepan masalah kewangan apabila program terbitan syarikat produksi miliknya tidak terjual selepas membelanjakan sebuah dana berjumlah RM312,000 untuk tujuan penggambaran.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube