suria

Aloy Paradoks pernah gugurkan pelakon kerana menipu, tak kompromi soal disiplin

Aloy tak berkompromi dengan pelakon ada masalah disiplin.

PELAKON dan pengarah teater, Aloy Paradoks pernah berdepan pengalaman bekerja dengan pelakon yang tidak berdisiplin dan menipu demi melepaskan diri daripada komitmen latihan.

Menurut Aloy, insiden itu berlaku ketika dia mengarahkan sebuah pementasan teater yang melibatkan sekumpulan pelajar. 

Katanya, salah seorang pelakon wanita dalam produksi tersebut memberi alasan tidak dapat hadir kerana demam, namun apa yang berlaku sebaliknya.

Aloy tolak bekerjasama dengan pelakon tidak berdisiplin.

“Saya terima alasannya dan teruskan latihan seperti biasa. Tapi selesai sesi, saya ternampak dia sedang lepak di sebuah restoran berhampiran lokasi latihan.

“Tanpa tunggu lama, saya maklumkan wataknya digugurkan daripada pementasan. Saya memang sukar bertolak ansur dengan sikap seperti itu. Dalam teater, disiplin sangat penting,”katanya.

Menurut Aloy, setakat ini dia belum mempunyai masalah dengan pelakon profesional kerana lebih bersikap terbuka dan jujur sekiranya tidak dapat hadir kerana komitmen lain.

“Kalau melibatkan artis profesional, mereka lebih berterus terang. Mereka akan maklum awal jika ada komitmen kerja lain. Itu lebih saya hargai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah tak sesuai jadi hero, Aloy Paradoks sabar terima hinaan... “Kau ada duit, kau handsome”

ARTIKEL BERKAITAN: PKP bertemu PKP... isu gaji belum 'settle', penulis skrip Aloy Paradoks tuntut Ogy langsaikan hutang! - “Saya dah sampai tahap jatuh benci pada dia”

Dalam pada itu, Aloy kini terlibat sebagai pelakon dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor (PSA) yang bakal  dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.

Berkongsi cabaran menjayakan naskhah ini, Aloy berkata dia memainkan dua watak serentak iaitu Saddiq Saufy dan Hamlet sekali gus memerlukan penghayatan mendalam.

“Cabarannya adalah mendalami dua watak ini secara serentak. Tanpa sedar, saya sedang ‘hidup’ sebagai dua individu berbeza. 

“Itu antara perkara mencabar selain menyampaikan dialog panjang dengan penuh rasa dan tetap kelihatan bersahaja.

Aloy (kirik) antara pelakon bagi teater Persiapan Seorang Aktor.

“Ia sukar, terutama bila menggunakan bahasa baku tetapi perlu disampaikan dengan lancar dan tidak kaku,” katanya.

Persiapan Seorang Aktor menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan. 

Naskhah ini turut menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah untuk melangkaui kehebatan legenda-legenda seni pentas dunia.

Tiket sudah mula terjual dan boleh didapati di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain