suria

[V] Amylea Azizan sedang kenal seseorang, segala kesedihan sudah berlalu... Kongsi sebab ambil masa dedah kisah perceraian

LAMA menyimpan perasaan, penyanyi Amylea Azizan memberitahu keputusan untuk mendedahkan tentang perceraian adalah kerana enggan menimbulkan fitnah.

Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, Amylea, 39, tidak mahu ada yang tersalah anggap akan status sebenar dirinya yang bukan lagi isteri kepada Mohammad Aqbar.

“Saya buat kenyataan di media sosial sebelum ini sebab tak mahu ada kata-kata fitnah. Kalau keluar makan atau berkenalan dengan orang lain, tak nak disangka saya masih berstatus isteri.

Amylea ambil masa untuk kongsi kisah cerai. 

“Iya, saya boleh katakan sekarang ini sedang mengenali seseorang,” katanya kepada mStar.

Menurut Amylea, perkahwinan dengan Aqbar sudah berakhir sejak awal tahun lalu namun dia hanya sedia untuk berkongsi pada 12 Oktober lalu menerusi satu hantaran di Instagram.

Menyimpan rapi kisah perceraian, penyanyi ini juga merasakan cukup hanya dirinya yang mengetahui derita sebenar dilalui.

ARTIKEL BERKAITAN: Amylea Azizan sah bercerai, masih kekal hubungan baik dengan bekas suami 

ARTIKEL BERKAITAN: Amylea buang foto perkahwinan, humban arca tangan bersama bekas suami dalam tong sampah

Dia juga mendedahkan hubungan dengan Aqbar sudah bermasalah sejak tahun lalu namun beberapa kali memberi peluang dalam perkahwinan.

“Segala kesedihan dan kemurungan sudah berlalu. Saya lebih suka berhadapan perkara ini sendiri, sebab itu tidak kongsi di media sosial. Saya takut dalam keadaan sedih atau marah mungkin boleh mengeluarkan kata-kata yang boleh membuatkan rasa menyesal di kemudian hari.

“Perkahwinan itu tidak bertahan lama. Sejak tahun lepas sudah ada masalah besar tetapi saya cuba beri peluang.

Percaya Allah nak berikan sesuatu atas apa yang berlaku

AMYLEA AZIZAN

PENYANYI

“Saya tidak dedahkan tarikh cerai sebab tak mahu orang tahu masa sebenar dan korek tentang apa yang terjadi. Biarlah saya dan keluarga terdekat sahaja tahu,” ujarnya.

Tambah Amylea, tindakannya memadam semua gambar kenangan bersama Aqbar sebelum ini adalah sebagai tanda dia kini mahu terus fokus kepada kehidupan sendiri selepas berpisah.

Fasa perceraian ini juga banyak memberi hikmah sehingga membuat dia rasa syukur atas apa yang telah berlaku.

Perkahwinan Amylea dan Aqbar tidak bertahan lama. 

“Saya padam gambar ketika itu apabila rasa sudah okay. Saya ambil masa sebab lebih baik ke fasa hidup baru tanpa mengguris perasaan sendiri.

“Saya sentiasa percaya pada ketentuan. Percaya Allah nak berikan sesuatu atas apa yang berlaku. Hikmah daripada kegagalan perkahwinan ini membuatkan saya bersyukur,” luahnya.

Amylea dan Aqbar sebelum ini mengumumkan pernikahan mereka pada November 2023, namun tidak pernah berkongsi perincian mengenai hari bahagia mereka itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain