ADIK kepada pelakon Uqasha Senrose iaitu Farza Dida tampil memberi respons terhadap kenyataan abang iparnya iaitu Kamal Adli berhubung isu kebenaran berjumpa anak perempuannya.
Tampil membidas kenyataan dibuat aktor itu, Farza menjelaskan tidak wujud istilah 'terjumpa' seperti yang didakwa Kamal sebelum ini.
"Tiada istilah 'terjumpa'. Macam mana boleh 'terjumpa' sedangkan memang abang dah plan dengan Dida (panggilan Farza)?," katanya.
Farza berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada petang Rabu.

Perkongsian semula yang dimuat naik oleh Nelydia di Instastory miliknya.
Perkongsian yang dibuat Farza turut mendapat perhatian daripada kakaknya yang juga pelakon Nelydia Senrose apabila berkongsi semula hantaran Farza di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, Farza memberitahu dia sebenarnya enggan mencampuri urusan rumah tangga Uqasha dan Kamal.
Namun, dia merasakan perlu bersuara bagi memperbetulkan keadaan dan menjelaskan fakta yang disifatkan tidak tepat.
"Kalau ikutkan tak nak bagi apa-apa komen, tapi nak betulkan saja fakta ni," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kamal Adli minta Uqasha Senrose timbang rasa, beri ruang jumpa anak… Mahkamah perintah lantik JKP
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dakwaan larang jumpa anak tidak betul, Uqasha Senrose tahu kedudukan Kamal Adli sebagai bapa… “Boleh bertemu bila-bila masa”
Sebelum ini, Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, meminta isterinya untuk memudahkan urusan dia berjumpa dengan anak mereka, Hawra Uqaira ketika berdepan kes cerai.
Dakwa Kamal, dia sudah lama tidak bertemu dengan anak perempuannya.
Pun begitu, Uqasha menerusi peguamnya, Muhammad Syazmee Sapian menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu anak guamnya tidak pernah menghalang pertemuan Kamal dan anak mereka.
Tambahnya, Uqasha juga sangat memahami tanggungjawab Kamal sebagai seorang bapa terhadap Hawra.

Kamal mohon Uqasha untuk memudahkan urusan dia berjumpa dengan Hawra (kanan).
Pada pagi Rabu, Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali mengarahkan Uqasha dan kamal melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan tarikh 18 Disember depan sebagai tarikh pembentangan laporan bagi kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


