suria

KRU sedih hasrat bapa nak tengok konsert tidak kesampaian, bawa Juliana Banos ke pentas GenKRU The Finale

Kemunculan Juliana (dua dari kanan) di konsert GenKRU The Finale menarik perhatian ramai.

MALAM penuh emosi menyelebungi konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu apabila kumpulan KRU berkongsi berita sedih mengenai keadaan kesihatan bapa mereka, Abdul Halim. 

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, 53, bapa mereka mengalami jangkitan pada paru-paru dan dimasukkan ke hospital kira-kira tiga minggu lalu. 

Kata Norman, dia dan dua lagi anggota KRU iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim sedikit terganggu untuk membuat persiapan konsert, namun bersyukur kerana keadaan bapa mereka sudah semakin baik. 

Yusry (kiri) dan Norman sebak mengenangkan hasrat tak kesampaian bapa mereka untuk ke GenKRU The Finale.

"Ayah saya kritikal, lebih kurang tiga minggu lalu dia masuk hospital. 

"Jadi dalam kami buat persediaan konsert ini, otak kami agak serabut kerana hari-hari ulang-alik pergi hospital, selepas itu buat latihan konsert. 

"Alhamdulillah keadaan kesihatan ayah kami makin baik. Cuma hasratnya untuk tonton konsert kami pada malam ini (Sabtu) tidak kesampaian," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: KRU letak standard lebih tinggi, pilih lokasi ‘outdoor’ untuk konsert mega

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah fikir tarik diri daripada acara anugerah, KRU enggan peminat kecewa

Norman berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium  Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu. 

Menurut Norman, dia cuba menenangkan bapa mereka dan memberi jaminan bahawa masih ada peluang untuk meluangkan masa bersama dalam persembahan Star KRUise Showcase yang bakal berlangsung pada Januari depan. 

"Saya ada cakap dengan ayah jangan risau. Lagipun konsert ini agak besar dan bimbang dia tak selesa sebab ramai orang. Saya cakap tidak mengapa nanti kita pergi naik cruise, tak ramai sangat orang," ujarnya. 

KRU terharu dengan sambutan hangat yang diterima.

Menyentuh berkenaan konsert GenKru The Finale, Yusry, 52, meluahkan rasa syukur dengan sambutan baik yang diterima dan tidak menyangka kumpulan yang dianggotai adik-beradik itu masih lagi menerima sokongan kuat daripada peminat. 

"Selepas 33 tahun buat konsert, peminat masih memberi sambutan hangat seperti ini. Terus terang saya rasa macam tak layak untuk dapat ini semua. 

"Saya rasa macam kami ini ada apa? Apa kami buat? Tapi peminat masih memberikan sokongan kuat kepada kami. Saya memang terharu," katanya. 

GenKRU The Finale: One More Time memukau peminat dengan visual canggih di skrin besar serta teknologi kecerdasan buatan terkini.

KRU menghiburkan lebih 15,000 peminat di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu.

KRU turut membuat kejutan dengan menampilkan kumpulan nasyid Rabbani menerusi Intifada, selain kemunculan semula Juliana Banos selepas dua dekad meninggalkan pentas hiburan. 

Kumpulan Elite turut menceriakan pentas dengan lagu Dari Metropolitan dan Go KRU, manakala penyanyi hip hop Adam Mat Saman menghangatkan suasana dengan lagu Terhangat Di Pasaran.

Konsert yang menjadi penutup kepada jelajah GenKRU sepanjang tahun bermula pada Mei lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, menyaksikan KRU mempersembahkan lebih 20 lagu hits mereka dengan sajian lagu-lagu 'sing-along' seperti Awas, Mengerti, Oh La La!, Jangan Lafazkan, Fanatik dan Untukmu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain