suria

Sorotan 2025: Kehilangan penggiat seni dirasai, jasa dan karya tetap dalam ingatan

Kehilangan anak seni amat dirasai peminat.

SEPANJANG tahun 2025, dunia hiburan tanah air tidak terlepas daripada berita duka kehilangan penggiat seni yang meninggalkan kita buat selamanya.

Kehilangan mereka bukan sahaja mengundang rasa hiba dalam kalangan ahli keluarga, malah turut dirasai peminat yang setia mengikuti perjalanan seni masing-masing. 

Bakat, jasa dan karya yang pernah mereka tinggalkan terus menjadi memori yang sukar dipadam dalam sejarah hiburan tempatan.

Setiap insan yang pergi membawa bersama cerita, perjuangan dan legasi tersendiri. 

Justeru senarai nama selebriti yang meninggalkan kita pada tahun ini wajar dikenang sebagai tanda penghormatan atas sumbangan mereka kepada industri seni. Al-Fatihah. 

Jojo meninggal dunia ketika mengikuti sebuah acara di masjid. 

1. Jojo One Nation Emcee (26 Januari 2025)

Anggota kumpulan One Nation Emcee iaitu Jojo atau Nur Hasan Balas disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham rebah secara tiba-tiba di sebuah masjid di Petaling Jaya, Selangor ketika mengikuti satu acara di lokasi berkenaan.

Jojo menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun.

Roslan menderita sakit diabetes sebelum meninggal dunia. 

2. Roslan Salleh (7 Februari 2025)

Pelakon Roslan Salleh dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Melaka pada usia 68 tahun.

Isteri Allahyarham memberitahu dia menemukan suaminya sudah tidak bernyawa selepas selesai menunaikan solat Subuh pada pagi Jumaat.

Sejak tiga tahun lalu Allahyarham tidak aktif dalam dunia seni akibat penyakit diabetes sehingga menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan.

Nico meninggal ketika dalam tidur. 

3. Nico (4 April 2025)

Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini dikejutkan dengan pemergian penyanyi rap Nico yang meninggal dunia ketika tidur.

Allahyarham Nico atau Abdul Fashah Abdul Aziz, 53, menghembuskan nafas terakhir di kediaman rakannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Difahamkan arwah berehat seketika di sana sebelum pulang ke rumahnya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang. 

Azizah lama menyepi dari dunia hiburan sebelum meninggal dunia. 

4. Noor Azizah (7 April 2025)

Pelakon veteran Datin Noor Azizah Azizul Hassan disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Kampung Sungai Rapat, Ipoh, Perak pada usia 79 tahun.

Allahyarham merupakan seorang pelakon yang memulakan kerjaya seni pada tahun 1965 menerusi filem Dayang Senandong.

Noor Azizah turut melebarkan sayap ke luar negara menerusi filem Malin Kundang di Indonesia dan Bailey Bird (produksi Australia).

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh.

Sophia mengalami sesak nafas selepas pulang dari sebuah acara. 

5. Sophia Ibrahim (5 Mei 2025)

Pelakon Sophia Ibrahim meninggal dunia akibat sesak nafas selepas menghadiri dua acara di Kuala Lumpur.

Allahyarham memulakan kerjaya lakonan sekitar tahun 1960-an dan antara filem yang mengangkat nama Sophia adalah Dr Rushdi.

Sophia merupakan aktres kelahiran Singapura dan menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun.

Sheqal aktif menulis ketika hayatnya. 

6. Sheqal (17 Jun 2025)

Penyanyi Sheqal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 12.31 tengah hari.

Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan kerana tahap oksigen menurun.

Sheqal pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Raja Ema pada 1993 namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam tahun.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki.

Allahyarham juga memiliki dua cahaya mata lain hasil perkahwinan bersama Normah Mohd Yusoff.

Zaleha antara penyanyi yang mengangkat genre dangdut di Malaysia. 

7. Zaleha Hamid (19 Jun 2025)

Penyanyi dangdut era 1980-an, Zaleha Hamid meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.

Media sebelum itu melaporkan Zaleha terlantar sejak 2020 akibat angin ahmar selepas terjatuh di bilik air rumahnya.

Zaleha merupakan penyanyi dan penghibur terkenal di Malaysia dan Singapura, selain antara perintis awal irama dangdut di negara ini.

Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.

Zaleha mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia lima tahun bersama bapanya, Abdul Hamid Tambi Kecik menerusi persembahan Panggung Bangsawan sekitar era 60-an.

Kesusahan hidup Ross turut mendapat perhatian menteri. 

8. Ross Ariffin (2 Ogos 2025)

Komposer dan pemuzik Ross Ariffin yang pernah mengejutkan industri seni apabila dilaporkan hidup sebagai gelandangan meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Ross atau Roslan Ariffin Jamil merupakan komposer yang banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Ning Baizura.

Kisah hidup Ross pernah menjadi tumpuan ramai selepas beliau dilihat berjalan seorang diri tanpa arah tujuan di sekitar Kuala Lumpur.

Charlie meninggal dunia akibat kanser. 

9. Charlie Nu’man (15 Oktober 2025)

Beberapa bulan selepas dilaporkan menghidap kanser usus tahap empat, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelakon Charlie Nu’man yang meninggal dunia pada usia 71 tahun.

Charlie atau Nu’man Mohd Salleh sebelum itu tenat dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dua hari selepas dibawa pulang.

Dharma ditemukan tidak bernyawa di rumahnya. 

10. Dharma Harun (25 November 2025)

Seniman popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid dilaporkan meninggal dunia sendirian di rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Anak lelaki Allahyarham, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman memberitahu dia mendapati tubuh bapanya sudah terbujur kaku apabila pulang ke rumah sekitar pukul 9.15 malam.

Allahyarham merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem terkenalnya ialah Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves.

Lotter (kiri) dan Amirul meninggal dunia di usia muda. 

11. Lotter (18 November 2025)

Naib juara Akademi Fantasia (AF) musim 4, Lotter meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas bertarung penyakit tiroid.

Pemergian Lotter mengejutkan ramai peminat yang sudah lama tidak mendengar perkembangannya.

Lotter, 43, dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesukaran bernafas.

Biarpun jarang muncul di televisyen, mendiang aktif menyanyi di Sabah.

12. Amirul AF4 (25 November 2025)

Pengikut program AF turut dikejutkan lagi dengan pemergian Amirul yang meninggal dunia secara mengejut.

Amirul atau Amirul Azwan Mohd Ghazali, 37, dikatakan tidak menghidap sebarang penyakit.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang ketika itu sedang hamil anak sulung mereka selepas mereka bernikah pada 2023.

Karya Iskandar (kiri) dan Adinda Amiro akan sentiasa dikenang.

13. Iskandar Spring (24 Jun 2025)

Gitaris kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Miri, Sarawak pada usia 56 tahun.

Allahyarham dilaporkan menghidap pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes dan komplikasi buah pinggang.

Iskandar merupakan pengasas kumpulan Spring pada tahun 1987.

14Adinda Amiro (9 Jun 2025)

Komposer, penulis lirik dan penyanyi Adinda Amiro meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang pada usia 66 tahun.

Sepanjang hayat, Allahyarham menghasilkan banyak lagu malar segar.

Antara karya terkenalnya termasuk Aduhai Seribu Kali Sayang (Saleem Iklim), Air Mata (Lestari) dan Bukan Aku Tak Cinta (Iklim).

Mano Maniam (kiri), Frankie dan Khairul pergi buat selamanya. 

15. Frankie Lee (5 April 2025)

Pelakon veteran Frankie Lee Sai Peng meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Frankie aktif dalam dunia seni sejak 1971 sebagai pelakon iklan komersial.

Lakonan mantapnya dalam filem The Journey (2014) melayakkan mendiang menerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM27.

16. Khairul Azhar (29 Mei 2025)

Pelawak Khairul Azhar ditemukan tidak bernyawa di dalam kereta di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

Anak angkat Allahyarham cuba memberi bantuan pernafasan sebelum pasukan perubatan tiba.

Allahyarham yang popular menerusi sitkom Santan Berlada meninggal dunia pada usia 70 tahun.

17. Mano Maniam (30 Mei 2025)

Pelakon veteran Mano Maniam ditemukan tidak bernyawa di rumahnya di Kuala Lumpur.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun.

Nama Mano cukup dikenali menerusi watak Uncle Sam dalam sitkom Kopitiam (1999–2003) dan juga pernah membintangi filem Hollywood Anna and the King (1999).

Azam (kiri) dan Zul Mahat. 

18. Azam Smile (26 Februari 2025)

Penyanyi Azam Smile ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan meniarap di rumahnya di Shah Alam.

Azam atau nama sebenarnya Shukri Zainal menghembuskan nafas terakhir pada usia 38 tahun akibat pembuluh darah pecah kerana kurang tidur.

19. Zul Mahat (28 Februari 2025)

Komposer Zul Mahat atau Zulkifli Mahat disahkan meninggal dunia selepas beberapa hari dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 65 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Nas Ahmad (kiri) dan Fauziah banyak berjasa dalam dunia hiburan. 

20. Nas Ahmad (1 Mei 2025)

Dunia hiburan juga merasai kehilangan wartawan yang banyak memberi sumbangan terhadap penulisan dan penyiaran dunia seni.

Bekas wartawan program Melodi iaitu Nas Ahmad disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada usia 63 tahun.

Nas Ahmad atau Md Nasir Ahmad menghidap sakit jantung sejak 2023.

21. Fauziah Rauf (25 Mei 2025)

Bekas wartawan Fauziah Rauf meninggal dunia di Hospital Selayang akibat pendarahan di kepala pada usia 81 tahun.

Ramai artis sedih dengan kehilangan Raja Mawar (kiri) dan Che Li. 

22. Raja Fatimah Mawar (22 Jun 2025)

Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang selepas mengadu sakit dan sukar bernafas.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 49 tahun dan masih aktif sebagai penulis hiburan.

23. Rosli Manah (12 Ogos 2025)

Bekas wartawan hiburan Kumpulan Utusan, Mohd Rosli Manah, 57, atau lebih dikenali sebagai Che Le meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada otak.

Allahyarham menerima rawatan di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang selama dua bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Kehilangan insan-insan hebat ini meninggalkan kenangan mendalam buat semua.

Jasa dan karya mereka pastinya akan terus dikenang dan menjadi peneman buat peminat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain