suria

[V] “Secara rasminya, saya memang bersara” - Nur Fazura tolak berlakon drama

PELAKON Nur Fazura nekad mengumumkan dirinya tidak lagi terlibat dalam mana-mana penggambaran drama televisyen di semua stesen penyiaran. 

Menurut Fazura, 43, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat, namun mengambil langkah itu selepas mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk komitmen terhadap keluarga.

“Secara rasminya, saya memang bersara daripada berlakon drama untuk semua stesen televisyen. Namun untuk filem, saya masih terbuka untuk melihat dan mempertimbangkan projek yang sesuai,” katanya kepada mStar.

Fazura dan Fatima ketika diumumkan sebagai rakan kolaborasi Jakel 2026.

Fazura berkongsi perkara itu ketika di acara Jakel Fenomena Raya 2026 yang berlangsung pada malam Khamis.

Dia juga menjelaskan buat masa ini dirinya mahu memberi fokus kepada pembabitan dalam filem, khususnya produksi dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam masa sama, Fazura tidak menolak kemungkinan untuk terus aktif dalam bidang muzik walaupun menyedari nyanyian bukan keutamaan dalam kerjayanya.

“Untuk muzik, tengoklah macam mana nanti. Saya masih lagi menghasilkan lagu dan sekarang pun sudah masuk kelas vokal. Saya bukan penyanyi sebenar, tetapi minat terhadap nyanyian masih ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Tepat tekaan netizen, Fazura tampil bekerjasama dengan jenama pakaian musim raya

ARTIKEL BERKAITAN: “Siapa menjauh itu adalah doa-doa saya yang Allah makbulkan” - Nur Fazura

“Mudah-mudahan jika ada karya yang bagus daripada pihak penerbit, saya akan terima,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Fazura berkata kekangan masa menjadi antara faktor utama dia mengambil keputusan untuk tidak lagi terikat dengan penggambaran drama yang memerlukan tempoh masa panjang.

Selain itu, dia mengakui terdapat beberapa perkara lain yang mendorongnya dalam menetapkan pendirian tersebut. 

Fazura turut mereka beberapa baju hari raya Jakel.

“Sejujurnya, saya tiada masa untuk ambil drama yang banyak episod. Anak saya, Fatima, sangat rapat dengan saya dan dia mengalami separation anxiety.

“Dia tidak boleh berpisah lama dengan saya. Kalau saya keluar lama, dia akan cari saya. Untuk tidur pun dia perlukan saya, jadi itu juga antara kekangan dari segi masa. 

“Ia memang keputusan yang besar dan saya nekad buat masa sekarang. Namun saya tidak tahu ketentuan Allah pada masa akan datang. Buat masa ini, saya memilih untuk bersara daripada drama,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain