suria

Sukar kawal emosi, air mata Ani Maiyuni mudah gugur cerita fasal anak - “Saya selalu tinggalkan dia sebab kerjaya”

Ani dan Viviana sertai TTMM musim kedua.

BELUM pun memulakan pertandingan dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) penyanyi Ani Maiyuni sudah mencuri perhatian apabila mengalirkan air mata selepas anaknya, Viviana, membuat persembahan pada majlis sidang media.

Menurut Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman, 47, dia mengakui dirinya seorang yang sangat sensitif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak tersayang.

“Saya memang seorang yang sangat cengeng. Cuba tanya anak saya, dari sekolah rendah sampai universiti, dia ambil anugerah pelajar terbaik pun saya tak pernah datang.

Ani dan anaknya, Viviana.

“Bukan sebab saya tak kisah, tapi saya tak boleh kawal emosi,” katanya kepada mStar.

Ani berkata, perasaannya itu bukan hanya kerana sedih semata-mata, sebaliknya dia sukar mengawal diri apabila memikirkan pengorbanan yang dilalui sebagai seorang ibu.

Tambahnya, sikap mudah tersentuh itu bukan dibuat-buat, sebaliknya sudah sebati dalam dirinya sejak bergelar ibu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ani Maiyuni lali hadap selebriti baharu buat perangai sombong, sifatkan generasi Z kurang adab

ARTIKEL BERKAITAN: Artis lain buat hal, Ani Maiyuni pun kena tempias... Kecewa penyanyi dangdut tidak diberi peluang adakan konsert besar

“Bila melibatkan anak, saya jadi macam itu. Saya terfikir saya selalu tinggalkan dia sebab utamakan kerjaya.

“Tapi dalam masa sama, saya tak sangka dia boleh pergi sejauh itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ani mengakui dia jarang berkongsi mengenai anak-anak atau keluarganya kerana tidak mampu menahan emosi.

“Saya jarang cerita fasal anak-anak atau keluarga. Baru mula nak taip pun saya dah rasa sedih. Saya tak sekuat itu.

Antara peserta yang bertanding dalam TTMM musim kedua.

“Saya jenis happy go lucky, tapi bila bab anak memang sangat sensitif,” ujarnya.

Selain Ani dan anaknya, turut bertanding ialah pasangan Adira & Anggrek, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley serta Datuk Seri Vida & Cik B.

Sementara itu, pasangan lain yang turut memeriahkan TTMM2 ialah Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim Khairii.

TTMM2 akan bersiaran mulai 19 April 2026, pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

Musim ini turut menampilkan Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara, manakala Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal sebagai juri tetap.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain