PENYANYI Ziana Zain enggan mengulas mengenai namanya dikaitkan sebagai penyanyi yang bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu sebuah syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, berkata, dia tiada sebarang kenyataan hendak diberikan dan tugasnya hanyalah menyanyi.
“Tiada komenlah sayang, saya hanya menyanyi sahaja,” katanya.
Tiada komen lanjut daripada pihak Ziana.
Ziana juga dilihat terus bergegas pulang sejurus selasai menjurikan program One In A Million (OIAM) yang berlangsung pada malam Ahad.
Sebelum ini, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan memaklumkan setakat ini dia tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak SPRM berkaitan kes tersebut.
Jalaluddin menjelaskan dia hanya menjalankan tugas membuat promosi syarikat perunding kewangan berkenaan sebagau duta dan tidak terbabit dengan perkara lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekadar jalankan tugas sebagai duta... Jalaluddin Hassan belum terima panggilan SPRM bantu siasatan
ARTIKEL BERKAITAN: Dibayar sehingga RM400,000 sebagai duta syarikat perunding kewangan, SPRM panggil selebriti terlibat minggu depan
Pada Ahad, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Difahamkan selebriti yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.
Ziana memberitahu tugasnya hanya untuk menyanyi.
Pihak SPRM juga mendedahkan sejumlah wang sebanyak RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.
Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!