suria

Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku salah berkhalwat, sudah bayar denda RM3,000

Aliff dan Ruhainies pilih kunci mulut berhubung isu khalwat.

SELEPAS beberapa bulan turun naik mahkamah, akhirnya pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.

Perkara itu disahkan oleh pihak Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, membuat pengakuan itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Aliff dan Ruhainies hadir ke mahkamah tanpa pengetahuan media.

Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 3 Julai tahun lalu bagaimanapun menukar pengakuan bersalah melalui surat bertarikh 18 Februari lalu.

"Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

"Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah Ruhainies dan Aliff Aziz tak muncul di mahkamah, kes khalwat dilaporkan selesai selepas bayar denda

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aliff Aziz dan Ruhainies elak soalan media, tergesa-gesa tinggalkan mahkamah selepas prosiding kes khalwat

"Selepas pertuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah. Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda," katanya.

Ruhainies dan Aliff juga sudah membayar denda sebanyak RM3,000 setiap seorang berhubung kes khalwat mereka.

Sebelum ini, kedua pelakon itu dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.

Antara foto yang menjadi bukti kedua pelakon masuk ke kondominium mewah.

Pada 9 Mac tahun lalu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur. 

Susulan kes terbabit, Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun tahun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsAppTelegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

 

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain