PEGUAM kepada isteri pelakon Fikry Ibrahim tampil menjernihkan kekeliruan susulan kenyataan bercanggah yang timbul berhubung kes perceraian pasangan berkenaan.
Menurut Wan Muhammad Afiq Mohd Razif, anak guamnya, Siti Khalizah Alihan memang hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi menarik semula permohonan cerai yang difailkan pada Mei lalu.
Afiq (kanan) jelaskan kekeliruan yang berlaku.
“Ya, apa yang Fikry cakap semalam (dalam program Melodi) adalah betul.
"Saya sahkan bahawa Khalizah ada buat permohonan untuk tarik balik kes perceraian mereka,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun katanya, hakim membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Khalizah selaku plaintif dan Fikry untuk melakukan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
"Sekarang diberikan laluan untuk perbincangan perdamaian,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Fikry Ibrahim bercanggah dengan prosiding mahkamah, nak berdamai atau sebaliknya? - Peguam
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Fikry Ibrahim fail cerai sebab tiada persefahaman, masih buka pintu damai
Pada prosiding semalam, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes pada 10 September depan.
Wan Muhammad Afiq sebelum ini memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian disebabkan pasangan tersebut sudah tiada persefahaman.
Bagaimanapun ketika siaran langsung program Melodi, Fikry yang bertindak sebagai pengacara menafikan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.
Fikry dan isteri masih bahagia.
Sebaliknya tegas Fikry kehadiran isteri ke mahkamah adalah bertujuan membatalkan semula permohonan cerai.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Untuk rekod, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube