suria

[V] Bukan terdesak, Erra Fazira mahu teman hidup hingga akhir hayat… “Harap perkahwinan ini yang terbaik, terindah dan penutup”

SELEPAS 10 tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Erra Fazira mengakui tidak mudah mengambil keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga. 

Erra atau Fazira Wan Chek, 51, berkata keputusan itu dibuat bukan kerana terdesak, sebaliknya ingin teman hidup untuk mengharungi usia mendatang.

Kata Erra, apabila usia semakin meningkat, keinginan untuk mempunyai seseorang yang boleh menjadi tempat bercerita, berbincang, dan berkongsi rasa menjadi lebih kuat.

“Kalau nak tunggu yakin mungkin akan banyak bisikan yang menakutkan. Tambah pula saya sudah selesa hidup sendirian.

Erra dan Mr E mula berkenalan sejak Ogos tahun lalu. 

“Mr E pun sudah hidup solo selama lapan tahun. Masing-masing sudah rasa selesa. Tapi akhirnya, fitrah manusia di peringkat usia seperti ini mahu berteman. Jadi biarlah kami buat cara yang betul dan diredai.

'Kami bukan di dalam situasi terdesak mencari pasangan tapi lebih kepada memikirkan jangka masa panjang untuk nak berteman dan kawan bicara di hari tua kelak,” katanya kepada mStar

Erra berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Abadi 2025 yang diadakan di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur pada petang Selasa. 

Dalam pada itu, Erra memberitahu kedua-dua belah keluarga sudah bertemu enam minggu lalu dan menghantar cincin tanda dalam satu majlis ringkas.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Erra, Ezwan nikah 12 Disember ini

ARTIKEL BERKAITAN: Erra Fazira, Mr. E bakal kahwin minggu depan?

Tambah penyanyi lagu Jendela Hati itu, dia turut berharap agar perkahwinan kali ini menjadi pelengkap dan penutup paling indah dalam hidupnya.

“Sebelum membuat sebarang keputusan kami telah berbincang terlebih dahulu dan apabila semuanya sudah yakin dan pasti, barulah kami berjumpa dengan keluarga masing-masing.

“Saya harap perkahwinan ini yang terbaik, terindah dan penutupnya,” ujarnya. 

Kami bukan di dalam situasi terdesak mencari pasangan tapi lebih kepada memikirkan jangka masa panjang untuk nak berteman

ERRA FAZIRA

PENYANYI DAN PELAKON

Ditanya soal respons anak tunggalnya, Engku Aleesya terhadap perkahwinan baharu ini, Erra memaklumkan dia tidak menerima sebarang halangan daripada cahaya matanya termasuk bakal anak tiri. 

“Alhamdulilah kedua-dua anakanda kami sangat positif dan mereka bersyukur, malah ikut sahaja perancangan kami. Tiada bantahan daripada anak-anak.

“Anak saya pun sudah berusia 16 tahun, semuanya sudah difikirkan. Jadi atas pendekatan itu kami ambil keputusan untuk bersatu,” katanya. 

Erra mahu berkahwin kerana ingin teman hidup. 

Sebelum ini, Erra mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Ezwan Zain pada 12 Disember ini.

Erra tidak dapat menahan sebak serta mengalirkan air mata ketika memaklumkan berita gembira itu. 

Terdahulu, hubungan pasangan ini mula dihidu apabila Erra memuat naik ucapan berbaur romantis kepada Ezwan pada Januari lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain