PEMAIN sensasi, Faisal Halim patah tulang hidung dalam satu insiden ketika perlawanan bola sepak Liga Super 2024 melibatkan pasukan Selangor FC dan PDRM FC pada Sabtu malam.
Pemain sayap Selangor itu mengalami kecederaan selepas hidungnya terkena siku kapten pasukan lawan, Faith Friday Obilor pada minit ke-54 perlawanan.
Insiden itu turut dikongsi oleh seorang petugas media yang berada di venue.
"Harga yang ‘mahal’ terpaksa dibayar Faisal Halim malam ini.
Faisal cedera disimbah asid pada tahun lalu.
"Difahamkan mengalami kecederaan patah hidung selepas pelanggaran dengan Faith Friday Obilor di minit 54," ciap Fina Nasrom.
Faisal Halim turut berkongsi dua gambar menerusi hantaran di Instagram Story.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tak tutup kes Faisal Halim, siasatan masih diteruskan
Gambar pertama menunjukkan kesan darah pada hidungnya.
Dalam hantaran kedua, dia berkongsi hasil imbasan X-ray tulang hidungnya.
Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan Selangor memperoleh kemenangan 2-0 ke atas PDRM.
Untuk rekod, nama Faisal turut kecoh pada tahun lalu apabila dia menjadi mangsa serangan di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Dalam kejadian itu, Faisal mengalami melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.