suria

Zii Jia bangkit, sedia beraksi di Paris! Tinggalkan episod gelap tekanan dan kemurungan

Zii Jia bersedia untuk membuat kemunculan semula di Kejohanan Dunia BWF di Paris.

PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia mendedahkan bahawa dirinya berdepan episod kemurungan sepanjang tempoh lima bulan tidak beraksi akibat kecederaan pergelangan kaki.

Pemain profesional berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan semasa Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China pada Disember tahun lalu dan hanya kembali bertanding di Orleans Masters dan All-England pada Mac 2025.

Kini, Zii Jia bersedia untuk membuat kemunculan semula di Kejohanan Dunia BWF di Paris, yang akan bermula Isnin ini (25 Ogos), menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin pada pusingan pertama.

Dalam satu temu bual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia secara terbuka berkongsi cabaran mental yang dihadapinya sepanjang tempoh pemulihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian emas lebur... Zii Jia terkandas di separuh akhir

"Saya berada dalam situasi di mana saya mahu berhenti bermain.

"Saya pernah lalui pelbagai cabaran sebelum ini, tetapi ini kali pertama saya mengalami kecederaan yang begitu serius. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menanganinya," katanya.

Zii Jia mengakui bahawa kecederaan tersebut memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya. 

Sepanjang tempoh itu, dia memilih untuk mengekspresikan perasaannya melalui seni dan kembara, termasuk memuat naik imej-imej samar di media sosial yang kemudiannya menjadi tular.

"Selama lima bulan itu, saya bukan sahaja berdepan kecederaan, tetapi juga tekanan emosi, dan ya, saya mengalami sedikit kemurungan," ujarnya.

Zii Jia turut mengasingkan diri daripada media sosial dan berita sepanjang tempoh itu, bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan fizikal dan mental.

"Saya hanya fokus pada diri saya, pemulihan dan kekuatan mental. Saya banyak belajar daripada pengalaman ini.

"Perkara paling penting bagi saya sekarang ialah untuk menikmati permainan dan kekal bebas daripada kecederaan," ujarnya. -The Star

Artikel Lain