PASUKAN DXStream berjaya menewaskan 16 kumpulan lain apabila dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan ASIA Challenge Competition Series menerusi permainan Mobile Legends.
DXStream yang dianggotai oleh SunSeishiro, M1NGKONG, Sizkaa, SkyZED, dan Aishh, mempamerkan kehebatan mereka sepanjang kejohanan berlangsung membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM5000 serta trofi.
Sementara itu, naib juara dirangkul pasukan Natsu & Friends yang dianggotai oleh Natsu, Yums, Gojes, Aim, dan Illidan membawa pulang RM3000 serta trofi kemenangan.
Tempat ketiga menjadi milik pasukan Aii Taubat Dakgi diwakili Zarul Hafiz, Mat Production, Najmil Faiz, Muhammad Amadi Syafiq, Muhammad Uddin dan Arif Aiman berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam kejohanan ini serta membawa pulang wang tunai RM1000.
Natsu & Friend rangkul tempat kedua.
Dalam pada itu, pasukan Odyssey MY turut menerima penghargaan dengan anugerah Best Shout, sebagai pasukan yang paling menyerlah dalam kategori komunikasi dan strategi permainan manakala DXSkyZed dinobatkan sebagai pemain terbaik.
Bercakap mengenai acara berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif ASIA iaitu Datuk Abd. Rahman Soltan berkata kejohanan ini bukan hanya untuk mencungkil bakat dalam industri e-sukan, tetapi juga untuk memastikan golongan influencer dan anak muda lebih aktif serta terlibat dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami mahu influencer dan peserta yang terlibat tidak hanya tertumpu kepada penciptaan kandungan semata-mata, tetapi juga menyumbang kepada perpaduan dan kebajikan masyarakat. Sebab itu, selain kejohanan e-sukan, kami turut mengadakan pelbagai program lain yang menggalakkan interaksi dan pembangunan sahsiah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Wanita pecah rekod tontonan tertinggi
ARTIKEL BERKAITAN: Bongkar rahsia atlet Mobile Legend negara, amal baca surah Taha sebelum game... Bukan saja hafaz 30 juzuk al-Quran, cemerlang akademik!
Tambah beliau, ASIA Challenge Competition Series juga menekankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), terutama menjelang Ramadan yang semakin hampir.
“Kami percaya bahawa perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat harus dipupuk melalui pelbagai program yang menyatukan rakyat, tanpa mengira latar belakang.
"Antara aktiviti yang bakal dilaksana termasuk program zakat untuk golongan memerlukan, serta lawatan ke rumah warga emas dan anak yatim, tanpa mengira bangsa dan agama.
Kejohanan ASIA ini satukan pemain dan influencer rebut gelaran juara.
"ASIA Challenge Competition Series akan terus menjadi platform yang bukan sahaja berprestij dalam dunia e-sukan, tetapi juga memberi impak sosial yang positif,” ujarnya.
Ujar Abd. Rahman lagi, selain e-sukan, program ini juga merangkumi pelbagai pertandingan lain seperti fesyen, kecantikan, masakan untuk pasangan suami isteri, futsal, dan sukan tempur.
Matlamat utama adalah untuk menggalakkan para influencer agar lebih aktif secara fizikal dan sosial, bukan sekadar menghasilkan kandungan digital.
Lebih istimewa lagi, kejohanan ini turut menawarkan sistem pengumpulan mata bagi setiap peserta yang aktif dan,erela yang mencapai sasaran mata yang ditetapkan bakal menerima ganjaran istimewa iaitu percutian ke Dubai.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube