RAKYAT Malaysia yang ingin memasuki Thailand perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) sekurang-kurangnya tiga hari sebelum melakukan perjalanan, bermula 28 April untuk ketibaan pada 1 Mei.
Kaedah permohonan menggantikan borang kertas TM6 itu boleh dilengkapkan di laman web TDAC.
Menurut timbalan jurucakap kerajaan, Anukool Pruksanusak, TDAC akan menggantikan borang TM6, yang perlu diisi oleh semua pelancong luar.
Penggunaan borang TM6 telah ditamatkan sejak tahun lalu.
"Pelancong mesti memasukkan butiran peribadi, maklumat pasport, jadual perjalanan, penginapan dan status kesihatan.
"Sebaik sahaja mereka mengisi borang TDAC, pelancong luar akan menerima e-mel pengesahan untuk dikemukakan bersama dokumen perjalanan semasa tiba di Thailand.
"TDAC bukan visa tetapi borang kemasukan digital yang bertujuan untuk meningkatkan kemudahan dan pematuhan dengan piawaian antarabangsa. Ia terpakai untuk semua laluan masuk darat, laut dan udara," kata Anukool.
Tambahnya, arahan tersedia dalam lima bahasa iaitu Inggeris, Cina, Korea, Rusia dan Jepun.
Pihak berkuasa Imigresen sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk sistem E-Visa, pemeriksaan kesihatan awam dan platform bayaran pelancongan, untuk menyelaraskan ketibaan. - Bangkok Post