suria

Satu bas ‘gigit jari’, bagasi 30 pelancong dirompak di Itali... Jadikan iktibar, ini 10 tip elak jadi mangsa curi di luar negara

Tangkap layar video dikongsikan salah seorang pelancong ketika kejadian.

PERCUTIAN sekumpulan pelancong dari China sepatutnya menjadi kenangan manis, namun ia bertukar sebaliknya selepas semua bagasi mereka dicuri semasa singgah sebentar di Pisa, Itali.

Kejadian berlaku pada 3 Julai lalu semasa kesemua 30 ahli rombongan turun dari bas pelancong yang dinaiki mereka untuk melawat Menara Condong Pisa.

Sekembalinya mereka ke bas selepas 30 minit untuk meneruskan perjalanan, didapati semua beg termasuk barangan berharga seperti jam Rolex lesap dan tidak boleh dijejaki lagi.

Bagaimanapun, mereka tidak kehilangan pasport kerana disimpan pemandu pelancong.

Hal itu membolehkan mereka pulang ke negara asal dengan selamat. 

Namun, pelancong kecewa apabila laporan polis dibuat bersama rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta data GPS tidak mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

Memetik portal Rick Steves, terdapat tip keselamatan yang boleh dijadikan rujukan berdasarkan kejadian ini.

Berikut 10 tip berguna untuk elak jadi mangsa kes curi semasa melancong ke luar negara:

1. Jangan tinggal beg atau bagasi tanpa pengawasan

Bawa barang penting bersama atau pastikan ada individu yang ditugaskan menjaga barang ketika berhenti di lokasi tumpuan pelancong.

2. Elak guna beg mewah atau terlalu menarik perhatian

Pencuri bijak memilih mangsa berdasarkan beg yang nampak mahal. 

Guna beg yang sederhana dan tidak menonjol, walaupun isinya berharga.

Money belt sesuai digunakan sekiranya melancong ke luar negara.

3. Simpan barang penting dalam 'money belt'

Gunakan money belt atau pouch kecil yang dipakai di dalam baju untuk simpan pasport, wang tunai dan kad penting. 

Ini mengurangkan risiko barang utama diragut atau dicuri.

4. Jangan letak barang berharga di meja

Telefon, kamera dan dompet yang diletak di atas meja atau kerusi sangat mudah dicuri. 

Sentiasa simpan di tempat tertutup atau berhubung dengan badan seperti menggunakan tali lanyard.

5. Guna teknologi untuk jejak semula barang

Letak penjejak Bluetooth seperti AirTag dalam beg atau dompet untuk bantu kesan jika hilang. 

Jika telefon hilang, aplikasi ‘Find My Phone’ sangat membantu.

6. Ikat tali beg pada tangan atau kaki apabila duduk

Ketika berehat di restoran atau stesen, pastikan tali beg diikat atau dililit pada kaki kerusi, tangan atau kaki anda.

Ini menyukarkan pencuri menariknya dengan mudah.

7. Jangan ambil gambar sambil berhenti lama di kawasan sesak

Tempat seperti pasar, stesen metro atau lokasi popular sering jadi 'port' pencuri. 

Elak leka dengan kamera atau telefon sehingga tak perasan ada tangan lain menyeluk poket atau beg anda.

8. Simpan salinan dokumen perjalanan secara digital

Ambil gambar pasport, tiket dan visa anda dan simpan dalam emel atau cloud storage

Jika hilang, ini membantu mempercepatkan urusan di balai polis atau kedutaan.

9. Guna pembayaran tanpa tunai

Aplikasi seperti Apple Pay atau Google Pay lebih selamat berbanding bawa tunai banyak. 

Kurangkan pendedahan dompet anda di tempat umum.

10. Lakukan semakan barang sebelum tinggalkan lokasi

Biasakan diri semak barang setiap kali bangun dari tempat duduk sama ada di restoran, hotel, stesen atau dalam teksi. 

Artikel Lain