PENYANYI dan penyampai radio Zayan, Mawi berkata segmen Mawi Jawi yang dikendalikannya pernah menjadi mangsa hentaman netizen kerana berkongsi kaedah ejaan yang berbeza daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bagaimanapun menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 38, usaha memartabatkan tulisan Jawi itu akhirnya menerima penghargaan daripada badan berkenaan.
“Pada asalnya ramai yang menghentam program Mawi Jawi yang saya kendalikan kerana kefahaman saya dalam mengeja sesuatu ayat sedikit berbeza daripada yang difahami individu lain.
“Perkongsian ilmu itu dibuat secara santai, Alhamdulillah ia semakin diterima baik pendengar dan mendapat penghargaan daripada DBP baru-baru ini,” kata Mawi kepada mStar.