PEMANDANGAN matahari terbenam atau sunset menjadi salah satu detik yang dinantikan oleh pencinta alam semula jadi.
Namun, timbul persoalan sama ada umat Islam wajar keluar rumah untuk melihat momen indah ini kerana senja dikatakan waktu syaitan berkeliaran.
Tular satu video di TikTok memaparkan seorang ustaz bercakap tentang larangan keluar rumah pada waktu Maghrib.
Susulan itu, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Salman Maslori terpanggil untuk tampil memberikan pandangannya mengenai perkara ini.
Menurutnya, ketika matahari terbenam syaitan akan berkeliaran dan sesiapa yang terkena 'lintasan syaitan' khususnya kanak-kanak, akan menjadi tidak cerdik.
Selain itu, budaya duduk di luar rumah untuk berbual kosong atau mengumpat pada bila-bila masa juga bukan satu amalan yang diajarkan dalam Islam.
Namun, adakah benar umat Islam tidak boleh keluar atau menikmati keindahan ciptaan Allah pada waktu senja?
Kanak-kanak dilarang untuk keluar rumah pada waktu Maghrib.
Hadis sahih mengenai larangan
PU Salman menjelaskan, larangan keluar rumah pada waktu Maghrib merujuk kepada kanak-kanak seperti dinyatakan dalam hadis sahih Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012).
Nabi Sulaiman bersabda, maksudnya:
Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran.
Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.
Jadi, larangan ini bukanlah bermaksud orang dewasa tidak boleh keluar atau menikmati sunset, sebaliknya lebih kepada langkah berjaga-jaga khususnya kepada kanak-kanak.
'Sunset' sebagai tanda keagungan Allah
Menikmati keindahan matahari terbenam sebenarnya boleh menjadi satu bentuk tafakur (berfikir atau merenung) dan tanda keimanan terhadap kebesaran Allah.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 190:
Maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal (berfikiran sempurna)."
Justeru, melihat dan menghayati keindahan ciptaan Allah ini adalah sesuatu yang baik lebih-lebih lagi jika ia disertai dengan zikir dan doa.
Ramai yang berkunjung ke pantai pada waktu senja semata-mata untuk melihat matahari terbenam. -Foto 123rf
Doa ketika melihat 'sunset'
Dalam hadis Abu Salamah, riwayat Al-tirmizi dan Abu Daud, Nabi Muhammad SAW sendiri mengajarkan doa khusus untuk waktu matahari terbenam:
Maksudnya: “Ya Allah, ini adalah (saat) datangnya malam-Mu, dan perginya siang-Mu, dan terdengarnya doa-doa untuk-Mu, maka ampunilah aku.”
Maka, bagi mereka yang sedang dalam musafir atau berada di luar rumah pada waktu senja, tidak ada masalah untuk mengambil gambar atau merakam video 'sunset'.
Malah, ia adalah satu amalan yang digalakkan jika waktu itu digunakan untuk solat jamak takhir, berzikir dan berdoa.
Kesimpulannya, PU Salman menegaskan bahawa tidak ada masalah untuk menikmati pemandangan matahari terbenam selagi ia tidak melalaikan ibadah.
Bagi kanak-kanak, mereka disarankan berada di dalam rumah ketika masuk waktu Maghrib untuk mengelakkan gangguan syaitan.
Namun, bagi orang dewasa menikmati keindahan 'sunset' adalah satu bentuk tafakur yang boleh meningkatkan keimanan kepada kebesaran ciptaan Allah.
Jadi, tiada masalah jika ingin menikmati pemandangan 'sunset' sambil berzikir kerana ia juga satu bentuk ibadah yang mendekatkan kita kepada Allah.