suria

Mak ayah senyum tengok anak dapat banyak duit raya... Jangan gelap mata, haram guna sesuka hati

Ibu bapa tidak dibernarkan menggunakan duit raya anak kecuali dalam keadaan tertentu.

TRADISI yang paling menggembirakan kanak-kanak ketika sambutan Aidilfitri adalah menerima duit raya.

Jumlah yang dikumpul selepas beraya dari rumah ke rumah boleh mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit.

Kebiasaannya, anak-anak akan memberikan wang tersebut kepada ibu bapa mereka untuk disimpan memandangkan mereka kurang mahir dalam pengurusan kewangan.

Namun, ada segelintir ibu bapa bertindak menggunakan duit tersebut tanpa keizinan anak mereka dengan alasan untuk membeli keperluan harian.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan ibu bapa menggunakan duit raya anak dengan sewenang-wenangnya adalah haram melainkan dalam keadaan memerlukan.

Malah, ibu bapa juga wajib menggantikan kembali wang tersebut sekiranya ia digunakan untuk perkara yang bukan keperluan.

Pada dasarnya ibu bapa wajib menguruskan harta anak-anak termasuklah dengan menyimpan dan menjaganya dengan baik serta tidak menggunakan harta tersebut untuk tujuan lain.

Terdapat tiga keadaan yang membenarkan ibu bapa menggunakan duit raya anak.

Ini jelas membuktikan duit raya yang diberikan kepada anak ialah hak dan milik mereka manakala ibu bapa hanya bertindak sebagai pemegang amanah.

Bagaimanapun, Mufti Negeri Selangor ada memperincikan tiga keadaan yang membenarkan ibu bapa menggunakan duit raya anak mereka berdasarkan sebab-sebab tertentu.

Pertama, duit itu harus digunakan untuk keperluan atau maslahat anak dan ia tidak perlu diganti.

Kedua, ia harus digunakan untuk tujuan peribadi ibu bapa walaupun tanpa izin anak, sekiranya bapa dalam keadaan terdesak dan memerlukan, namun ia terhad kepada kadar keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.

Ketiga, duit itu harus digunakan untuk tujuan peribadi walaupun ibu bapa tidak berada dalam keadaan terdesak, namun ia berstatus pinjaman dan perlu digantikan semula.

Kesimpulannya, duit raya yang diberikan kepada anak sebaiknya disimpan dengan baik bagi tujuan masa depan mereka sama ada dalam akaun bank, Tabung Haji, pendidikan dan sebagainya. 

Artikel Lain