suria

Tak boleh pilih 'ID halal', rider dilema dapat pesanan daging khinzir... Ini penjelasan ulama

Rider makanan yang beragama Islam diharamkan untuk menghantar atau mengambil pesanan tidak halal. -Gambar hiasan

PERKHIDMATAN penghantaran makanan (rider) semakin menjadi pilihan anak muda masa kini kerana tidak terikat pada waktu bekerja.

Namun timbul pula persoalan tentang hukum syarak apabila mereka terpaksa menghantar makanan tidak halal seperti arak dan daging khinzir meskipun sifat pekerjaan itu umum dan tidak bertujuan jahat

Menurut salah seorang rider, situasi tersebut berlaku disebabkan mereka tidak dapat memiliki pengesahan identiti (ID) bagi barangan halal meskipun terdapat dua pilihan yang ditawarkan syarikat kurier berkaitan.

Lebih membimbangkan apabila dia turut mendakwa, pembatalan yang berterusan akan membuatkan ID mereka digantung seterusnya hilang kelayakan untuk berkhidmat.

Menjawab kekeliruan yang berlaku itu, pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata, seseorang individu muslim diharamkan untuk menghantar atau mengambil barangan yang telah diharamkan untuknya makan.

"Apa yang Allah haramkan kita makan, haram (juga untuk) kita hantar dan ambil.

"(Sebagai contoh) kita bekerja di kedai tayar, tiba-tiba sebuah lori arak bocor dan kita pergi tolong...  perbuatan itu berdosa. 

"(Perkara sama) di stesen minyak, sekiranya kenderaan tersebut membawa benda haram, kita jangan pam minyak, biar dia pam sendiri," tegasnya.

Mengulas lanjut situasi yang sering berlaku itu, ujar beliau, melakukan sesuatu yang diharamkan dalam Islam diumpamakan seperti melakukan kemurkaan Allah.

"Jangan ambil... sebab kita hantar benda yang haram, benda haram tu Allah murka.

"Kita menolong benda kemurkaan Allah sedangkan kita bernafas ni udara yang Allah bagi pinjam," tambahnya.

Artikel Lain