suria

Bau busuk seperti najis melekat pada pakaian selepas kentut, tapi tiada kesan... Pemuda was-was nak solat, risau tak sah

Pastikan pakaian dalam keadaan bersih sebelum menunaikan solat. -Gambar hiasan AI

PERASAAN ragu-ragu mengenai kebersihan diri selepas kentut bukanlah sesuatu yang asing kerana setiap daripada kita mahu memastikan ibadah dilakukan dalam keadaan sempurna.

Demi mendapatkan kepastian, seorang individu tampil berkongsi situasi dialaminya.

"Kalau terkentut, saya sering rasa was-was apakah ada najis yang keluar sebab saya rasa seperti basah di dubur. Namun apabila diperiksa, tiada najis.

"Jadi saya anggap rasa lembap, basah atau licin itu hanya peluh atau bekas air mandian atau instinjak yang belum kering atau geseran antara otot dan bulu dubur," katanya.

Pada masa sama, dia turut mempersoalkan tentang bau yang kadangkala timbul pada pakaian dalam meskipun tiada najis kelihatan.

"Saya yakin tidak terberak cuma kentut saja. Hal ini kerana apabila saya tengok dubur dan seluar dalam, tiada najis. Jadi saya anggap bau tersebut datangnya daripada kentut.

"Namun adakah pakaian yang berbau najis meskipun tiada kesannya tetap dikira najis? Misalnya dalam situasi saya, seluar dalam berbau najis selepas terkentut walaupun tiada apa yang keluar.

"Adakah angin kentut boleh menajiskan pakaian?," soalnya lagi.

Bagi menghuraikan kekeliruan itu, portal Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa Islam menetapkan sesuatu hukum berdasarkan perkara yang yakin dan jelas, bukan sekadar sangkaan atau perasaan was-was.

Menurutnya, terdapat kaedah fiqh yang menjadi panduan dalam menentukan sesuatu hukum iaitu keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini bermaksud sesuatu perkara tidak dihukum sebagai najis melainkan terdapat bukti nyata seperti bau, warna atau rasa yang jelas menunjukkan kewujudan atau sifat najis.

Sehubungan itu, jika tiada kesan zahir najis pada tubuh atau pakaian, maka hukum asalnya kekal suci kerana angin kentut tidak menajiskan pakaian.

Walaupun mungkin terdapat bau, ia tidak menjadikan pakaian tersebut najis selagi tiada 'ain najis yang jelas' kelihatan.

Kesimpulannya, orang ramai disarankan agar berpegang kepada prinsip yakin dan tidak melayan was-was bagi mengelakkan kesulitan dalam kehidupan seharian khususnya dalam urusan ibadah.

Artikel Lain