suria

Cikgu buat mak ayah ‘buka mata’... Anak boleh belajar banyak perkara di dapur, tak perlu pergi jauh-jauh

Ibu bapa boleh mendidik anak dengan cara memasak bersama-sama. -Foto 123rf.com

MENDIDIK anak tidak semestinya terhad kepada pembelajaran akademik di sekolah sahaja.

Sebaliknya, pengalaman harian di rumah juga memainkan peranan penting dalam membetuk kemahiran kognitif serta sosial mereka.

Salah satu aktiviti yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak adalah dengan cara memasak.

Pandangan itu dikongsikan seorang pendidik berpengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak, Hazeem Nizam di media sosial.

Menurut Cikgu Hazeem, proses memasak boleh menjadi 'alat pendidikan' yang efektif bagi anak-anak termasuk perancangan, pemilihan bahan, persiapan dan kebersihan.

Anak-anak boleh belajar pelbagai kemahiran melalui setiap peringkat dalam aktiviti memasak seperti Matematik iaitu dengan mengira jumlah dan sukatan bahan yang diperlukan.

Selain itu, kanak-kanak dapat belajar ilmu Sains dengan mempelajari sifat bahan atau makanan, seperti bagaimana air mendidih atau cara doh mengembang ketika dibakar.

Kanak-kanak boleh melatih kemahiran dan sensori melalui penggunaan peralatan dapur.

Bagi kemahiran (soft skills) dan sensori mereka dapat belajar melalui penggunaan peralatan dapur seperti sudu, garfu, pisau (mengikut kesesuaian umur) dan alat penyukat.

Malah mereka dapat belajar memotong buah menggunakan pisau yang bersesuaian dengan saiz tangan mereka (pisau khas untuk kanak-kanak boleh didapati di kedai serbaneka).

Perkongsian Hazeem ini adalah berdasarkan soalan dikemukakan ibu bapa yang pernah bertanya bagaimana mereka boleh membantu anak belajar sepanjang cuti sekolah.

Sebagai pendidik dan bapa, Hazeem menekankan bahawa kaedah belajar paling baik untuk kanak-kanak adalah melalui pendekatan dan pengalaman secara langsung.

Jawapan yang diberikan adalah dengan membiarkan anak-anak memasak kerana pengalaman ini dapat memberi ilmu baharu serta membina keyakinan mereka dalam menyelesaikan tugas sendiri.

Kesimpulannya, memasak bukan sekadar satu aktiviti harian, tetapi ia boleh menjadi medium pembelajaran menyeluruh kerana gabungan elemen akademik, kemahiran sosial, kebersihan dan juga nilai-nilai kehidupan.

Artikel Lain