MALANG tidak berbau.
Begitulah nasib seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun selepas mendapatkan rawatan cirit-birit di hospital.
Dia disahkan buta dan menghidap cerebral palsy (CP) yang berpunca daripada kecuaian pihak pegawai perubatan.
Kisahnya itu dikongsikan peguam Ananchai Chaiyadej di laman Facebook rasminya dengan hashtag WrongMedicineChangeLife pada 9 April lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku di Hospital Luang Phor Taweesak Chutinataro Uthit, Thailand pada 16 Februari 2025.
“Kanak-kanak itu mengalami cirit-birit dan keletihan. Seorang doktor memberikan suntikan adrenalin untuk menaikkan tekanan darahnya.
“Malangnya, tekanan darah meningkat mendadak, menyebabkan kekurangan aliran darah ke otak. Dia kemudiannya mengalami penglihatan kabur dan mula mengalami sawan.
“Pada kira-kira pukul 2 pagi keesokan harinya, jantung pesakit tiba-tiba berhenti, bagaimanapun doktor berjaya menghidupkannya kembali dan memindahkannya ke Hospital Charoenkrung Pracharak dalam keadaan kritikal,” jelasnya.
Pada masa itu, dia mengalami satu keadaan di mana paru-paru dipenuhi cecair, jantung yang membesar dengan kadar degupan tidak teratur.
Tambahnya, antara 19 dan 20 Februari, keadaan pesakit semakin teruk seterusnya disahkan buta dan kehilangan keupayaan untuk bercakap atau menggerakkan tangan mahupun kaki.
“Doktor memberitahu ibu bapanya bahawa keadaannya berpunca daripada serangan jantung dan kekurangan bekalan darah ke otak.
“Pada masa sama mengakui ia adalah hasil daripada suntikan adrenalin," katanya.
Lebih mengecewakan apabila pasukan perubatan memberitahu bapa pesakit bahawa pihaknya telah menyediakan rawatan melebihi jumlah perlindungan oleh skim kebajikan sosial 30 Baht (RM3.95) dan keluarga pesakit tidak sepatutnya mengharapkan rawatan lanjut melebihi jumlah itu. - Thaiger